Peluang usahawan wanita tembusi pasaran halal global menerusi WiEX @MIHAS 2026

Iklan

PENYERTAAN wanita dalam perdagangan antarabangsa terus diperkukuh menerusi Platform Women in Export (WiEX), satu inisiatif khas oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) ke-22 tahun 2026.

WiEX yang dilancarkan kali kedua menerusi WiEX @MIHAS, mencerminkan komitmen Matrade dalam memperkasakan perniagaan diterajui wanita untuk berkembang melepasi pasaran domestik serta merebut peluang eksport global dalam ekonomi halal yang berkembang pesat.

Iklan
Iklan

Pengerusi Matrade, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ekonomi halal tidak akan berkembang sepenuhnya sekiranya bakat usahawan wanita tidak dimanfaatkan.

Justeru, menurutnya, WiEX @MIHAS meletakkan usahawan wanita di barisan hadapan dalam memacu inovasi, kualiti dan kecekapan pasaran dalam ekonomi halal.

Iklan

"Setiap wanita yang berkembang menerusi platform ini membawa kita lebih hampir kepada sasaran eksport halal RM80 bilion menjelang 2030.

"Ini bukan sahaja dasar yang baik, malah ekonomi yang baik," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

WiEX @MIHAS 2026 bertemakan 'Memperkasa Wanita dalam Ekonomi Halal' Dijadualkan berlangsung dari 23 hingga 26 September 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Ia merangkumi empat komponen bersepadu termasuk Pavilion WiEX iaitu ruang pameran khas yang menampilkan perusahaan milik dan diterajui wanita merangkumi 14 sektor industri halal MIHAS.

Pavilion WiEX akan menghimpunkan usahawan wanita dari Malaysia dan seluruh dunia dengan mengetengahkan produk dan perkhidmatan halal yang inovatif, amalan perniagaan mampan serta penyelesaian yang bersedia untuk dieksport.

Sebanyak 80 ruang pameran diperuntukkan di bawah Pavilion WiEX, terdiri daripada 60 ruang pameran untuk syarikat Malaysia manakala selebihnya untuk peserta pameran antarabangsa.

Syarikat Malaysia yang menyertai Pavilion WiEX berpeluang menyertai sesi padanan perniagaan yang telah dijadualkan lebih awal bersama pembeli antarabangsa yang diselaraskan oleh Matrade.

Selain itu, WiEX @MIHAS 2026 turut merangkumi Program Penyumberan Antarabangsa (INSP), Forum WiEX @MIHAS dan Anugerah Wira Ekonomi Wanita.

Pada tahun ini, Matrade membawa masuk 300 pembeli dari pelbagai negara menerusi INSP bagi menghubungkan mereka dengan syarikat-syarikat Malaysia.

Matrade menyasarkan untuk memudah cara lebih 120 sesi padanan perniagaan bagi syarikat Malaysia yang mengambil bahagian dalam Pavilion WiEX.

Melalui peluang jaringan perniagaan yang khusus serta integrasi dengan INSP MIHAS yang terkenal, syarikat-syarikat yang mengambil bahagian akan memperoleh akses secara langsung kepada pembuat keputusan antarabangsa serta rakan perniagaan berpotensi.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Abu Bakar Yusof berkata, usahawan wanita semakin menjadi pemacu kepada inovasi, penciptaan pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi merentasi pelbagai industri.

"Menerusi WiEX @MIHAS 2026, Matrade berhasrat menyediakan ekosistem menyeluruh yang menghimpunkan peluang perniagaan, kerjasama strategik, pembangunan kapasiti dan pengiktirafan di bawah satu platform.

"Ini sekali gus melengkapkan perniagaan yang diterajui wanita dengan rangkaian, pengetahuan dan akses pasaran yang diperlukan bagi mengukuhkan keupayaan eksport serta bersaing di peringkat global dalam pasaran halal," katanya.