KUALA LUMPUR – Pas akan mengemukakan usul tergempar di Dewan Rakyat berhubung projek Network School di Forest City, Johor susulan kebimbangan terhadap aspek kedaulatan negara, keselamatan data dan dakwaan kaitan projek itu dengan individu atau entiti yang dikaitkan dengan Israel.
Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, usul berkenaan telah dirangka oleh Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi dan akan diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada Selasa.
ARTIKEL BERKAITAN: BDS tuntut penjelasan terperinci projek Network School di Forest City
"Kami mengambil maklum kenyataan oleh Menteri Besar Johor bahawa kerjaan negeri juga akan meneliti perkara ini.
"Kerajaan Persekutuan juga perlu tampil memberikan pendirian rasmi (termasuk) sama ada semua proses tapisan keselamatan, sekuriti telah dilaksanakan secara menyeluruh oleh agensi-agensi yang berkaitan," katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen di sini pada Selasa.
Sebelum ini Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilapor menegaskan, kerajaan negeri tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan negeri itu sebagai tapak untuk membawa ideologi atau gerakan yang bercanggah dengan undang-undang, kedaulatan serta kepentingan negeri dan negara.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan agensi keselamatan berkaitan menjalankan semakan serta siasatan secara menyeluruh terhadap perkara berkenaan.
Dalam pada itu Ahmad Tarmizi berkata, antara persoalan yang perlu dijelaskan kerajaan adalah status pemilikan sebenar projek berkenaan, sama ada semakan keselamatan telah dilakukan serta kemungkinan wujud hubungan korporat, pelaburan atau teknologi pihak yang bercanggah dengan dasar luar Malaysia terhadap Israel.
Selain itu menurutnya, kerajaan perlu menjelaskan sama ada projek berkenaan melibatkan penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan atau pusat data yang dikendalikan syarikat asing.
"Jika ya, apakah mekanisme yang diwujudkan bagi memastikan data rakyat Malaysia berada di bawah pelindungan undang-undang negara?
"Adakah kerajaan telah menjalankan penilaian impak keselamatan data sebelum projek ini dipertimbangkan dan adakah projek ini pernah dibentangkan kepada jawatankuasa keselamatan negara atau mana-mana jawatankuasa khas Kabinet yang berkaitan dengan keselamatan strategik negara ini?" ujarnya.
Sementara itu Mumtaz berkata, usul tergempar itu akan dikemukakan mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1) bagi menuntut KDN memberi penjelasan mengenai isu berkenaan.
"Isu Forest City sering dibangkitkan di Parlimen, khususnya kerana kawasan itu digelar sebagai 'bandar hantu'.
"Dalam isu ini, antara perkara yang dibangkitkan ialah dakwaan terdapat warga Israel yang menggunakan platform ekonomi, pelaburan dan pendidikan untuk menembusi negara, termasuk didakwa memasuki Malaysia secara tidak sah menggunakan pasport negara kedua," katanya.