Sihat AI bantu rakyat berjimat, cegah penyakit

Iklan
Saarani menyempurnakan Majlis Pelancaran Sihat AI di PTTC di sini baru-baru ini.

Saarani menyempurnakan Majlis Pelancaran Sihat AI di PTTC di sini baru-baru ini.

IPOH – Pengenalan Kios Kesihatan Pintar Sihat AI (Sihat AI) pertama di Perak bertujuan membantu rakyat mengesan masalah kesihatan lebih awal seterusnya mengurangkan kos rawatan serta mengubah pendekatan penjagaan kesihatan.

Iklan
Iklan

Inisiatif itu dilaksanakan Kerajaan Negeri Perak bagi memperkukuh kesiapsiagaan kesihatan rakyat melalui penggunaan kecerdasan buatan (AI), analitik data dan infrastruktur digital kesihatan, khususnya dalam membantu pengesanan awal penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes dan hipertensi.

Disediakan secara percuma, kios yang terletak di Bangunan Perak Techno Trade Centre (PTTC) itu turut membantu syarikat memantau tahap kesihatan pekerja secara efektif.

Iklan

Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, penggunaan kios tersebut dijangka membantu organisasi beralih daripada pendekatan rawatan kepada pencegahan sekali gus berpotensi mengurangkan kos penjagaan kesihatan dalam jangka panjang.

"Sebagai majikan kita mahu melihat perubahan daripada pendekatan corrective kepada preventive. Apabila penyakit atau simptom dikenal pasti lebih awal melalui pemeriksaan berkala, rawatan lebih mudah, lebih cepat dan lebih murah berbanding apabila staf mendapatkan rawatan selepas penyakit berada pada tahap serius.

Iklan

"Sepanjang tempoh enam bulan projek rintis ini, kita juga akan menilai impaknya terhadap kos penjagaan kesihatan selain mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk penempatan kios pada masa depan," katanya selepas Majlis Pelancaran Sihat AI dan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) di PTTC di sini baru-baru ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dengan turut dihadiri Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Mohd Azlan Helmi.

Penyediaan inisiatif canggih itu dijayakan oleh Digital Perak Corporation Holdings (Digital Perak) dengan kerjasama Centre of Excellence for Extended Reality Technology Sdn Bhd (COEXRT AI).

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif COEXRT AI, Navinderan Mageswaran berkata, kios berkenaan direka sebagai pusat saringan kesihatan kendiri yang menggabungkan teknologi pintar dan kepakaran perubatan bagi memudahkan orang awam mendapatkan penilaian kesihatan secara lebih mudah dan pantas.

Antara ciri utamanya ialah saringan kesihatan asas meliputi tekanan darah, kadar denyutan jantung, paras oksigen darah, suhu badan, glukosa darah, kolesterol, asid urik dan berat badan.

Kerajaan negeri turut bercadang memperluaskan inisiatif ini ke seluruh daerah di lokasi strategik sekali gus memperkukuh penggunaan data dan teknologi dalam merangka program kesihatan awam yang lebih tepat, berkesan dan berpaksikan keperluan rakyat.

Pendekatan ini selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 yang memberi penekanan kepada pencegahan, pengesanan awal dan akses kesihatan yang lebih inklusif kepada masyarakat bandar, luar bandar serta golongan rentan.