Speaker tegur Ahli Parlimen Maran berpantun sindir Kor Ming

Iklan
Ismail ketika mengajukan soalan kepada KPKT di Dewan Rakyat pada Selasa.

KUALA LUMPUR - Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor menegur tindakan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (PN - Maran) yang berpantun menyindir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Teguran itu dibuat selepas Ismail menyampaikan pantun yang dipercayai menyentuh kenyataan Kor Ming sebelum ini berhubung hasratnya untuk meletakkan jawatan sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, kementerian pada sesi itu diwakili Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu bagi menjawab soalan di Dewan Rakyat.

Ramli kemudian mengingatkan Ismail supaya mematuhi Peraturan Mesyuarat dan mengelakkan sindiran yang boleh menyinggung perasaan mana-mana pihak.

Iklan

"Yang Berhormat, Peraturan Mesyuarat 36(10)(c), jangan sakit-menyakitkan hati antara satu sama lain. Saya faham apa yang diniatkan itu, tetapi kalau saya di sebelah sini sebagai Menteri KPKT, saya akan terasa.

“Kadang-kadang terfikir juga hendak tahan soalan Yang Berhormat. Saya prihatin, tetapi janganlah. Kita manusia. Sindir-menyindir bukan satu perkara yang sesuai, kita wakil rakyat," ujarnya.

Iklan

Sebelum ini, Kor Ming dilaporkan berkata, akan meletak jawatan sekiranya UMNO mencatat kemenangan besar pada PRN Johor dan Datuk Seri Najib Razak dibebaskan.

Kenyataan itu dibuat ketika kempen PRN berkenaan minggu lalu, sebelum Barisan Nasional (BN) dan UMNO mencatat kemenangan besar dengan memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanapun pada Ahad, Kor Ming menjelaskan kenyataannya telah disalah tafsir dan menegaskan pendirian itu dibuat atas prinsip mempertahankan integriti sistem kehakiman negara.

Tegasnya, beliau hanya akan meletakkan jawatan sebagai menteri sekiranya Najib dibebaskan tanpa menjalani hukuman yang setimpal, walaupun telah disabitkan bersalah.