SHAH ALAM - Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memastikan guru kembali fokus kepada tugas utama iaitu mendidik.
Menurut Presiden KONGRES, Mohamad Zapawi Mamat, isu beban tugas guru bukan perkara baharu, malah telah berlarutan sekian lama tanpa penyelesaian yang benar-benar menyeluruh.
"Walaupun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melaksanakan beberapa langkah bagi mengurangkan beban tugas guru, realitinya masih terdapat pelbagai tugasan bukan akademik yang terus membebankan warga pendidik.
"KONGRES berpandangan bahawa usaha mengurangkan beban tugas guru perlu dilaksanakan secara lebih tegas, tersusun dan berterusan supaya guru dapat kembali memberikan tumpuan sepenuhnya kepada tugas hakiki, khususnya pengajaran, pembelajaran, pentaksiran serta pembangunan sahsiah murid," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mohamad Zapawi menegaskan, pengumuman mengenai pemansuhan program berimpak rendah dan usaha mengehadkan tugasan bukan akademik merupakan langkah yang baik, namun keberkesanannya perlu dilihat berdasarkan perubahan sebenar yang dirasai guru di sekolah.
Jelasnya lagi, KONGRES turut mencadangkan supaya diwujudkan prinsip “satu masuk, satu keluar” yang mana sekiranya tugasan baharu diperkenalkan, tugasan sedia ada yang tidak lagi relevan perlu digugurkan.
"Pada masa yang sama, setiap arahan baharu yang melibatkan guru perlu diteliti dari segi impaknya terhadap masa pengajaran dan pembelajaran.
"KONGRES memahami bahawa setiap dasar dan program yang diperkenalkan oleh KPM mempunyai matlamat untuk memperkukuh kualiti pendidikan negara.
"Namun, pada masa yang sama, adalah penting untuk memastikan pelaksana di peringkat sekolah mempunyai ruang dan masa yang mencukupi untuk melaksanakan tugas utama mereka bersama murid," ujarnya lagi.
Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya percaya bahawa penyelesaian sebenar bukan sekadar mengurangkan bilangan program, tetapi mengubah budaya kerja dan sistem penyampaian pendidikan supaya guru tidak terus menjadi pihak yang menanggung setiap pertambahan tugasan.
Tambahnya lagi, jika keadaan tersebut tidak ditangani secara menyeluruh, hasrat untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara akan terus berhadapan dengan kekangan yang sama.
"Dalam hal ini, KONGRES berharap suara dan pandangan guru di lapangan dapat terus diberi perhatian dalam merangka dan melaksanakan sesuatu dasar.
"Kita percaya KPM dan KONGRES mempunyai matlamat yang sama iaitu memastikan guru dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik dan murid menerima pendidikan yang berkualiti," katanya.