WASHINGTON - Seorang ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) berdepan detik cemas selepas beliau bersama kumpulan rombongannya ditahan kumpulan ekstremis Yahudi bersenjata di Tebing Barat.
Kisah itu dikongsikan Ro Khanna menerusi catatan di platform X pada Sabtu selepas beliau dengan lantang mendakwa tentera Israel secara terbuka menyokong tindakan dilakukan puak pelampau tersebut.
Khanna yang sedang mempertimbangkan untuk bertanding jawatan Presiden mewakili Parti Demokrat pada pemilihan 2028 memberi amaran tegas bahawa rejim Tel Aviv telah membuat kesilapan besar.
"Kami ditahan kumpulan yang bersenjatakan raifal buatan AS. Mereka menghalang jalan sebelum memanggil tentera Zionis.
"Buat pertama kali saya terima layan sedemikian kerana warna kulit saya. Saya dapat melihat keangkuhan pada mata pelampau Yahudi tersebut yang dipercayai berusia dalam lingkungan awal 20-an.
"Begitu juga sikap bongkak tentera Israel yang dibiayai oleh wang cukai rakyat AS," katanya menerusi wawancara bersama DRM News.
Menurutnya, mereka akhirnya dibebaskan selepas beberapa anggota polis Israel campur tangan susulan laporan mengenai sekumpulan peneroka yang menghalang kenderaan berhampiran Khirbet Zanuta, sebuah perkampungan kecil Palestin yang penduduknya dipaksa meninggalkan kediaman akibat serangan ganas ekstremis Yahudi pada fasa awal Perang Gaza 2023.
Difahamkan, Ro Khanna bersama anggota Republikan, Thomas Massie giat mendesak penggubal undang-undang agar menamatkan bantuan ketenteraan negara itu kepada Israel ketika Kongres sedang meneliti rang undang-undang baharu mengenai perbelanjaan ketenteraan kepada sekutu kuat AS itu. - Agensi