Perjanjian baharu BEZ Malaysia-Thailand buka laluan pasaran ke Laos, Kemboja, Vietnam - PM

Iklan
Anwar bercakap pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa. - Foto: Bernama

KUALA LUMPUR – Perjanjian baharu Zon Ekonomi Sempadan (BEZ) Malaysia-Thailand bakal membuka laluan lebih luas kepada barangan Malaysia untuk menembusi pasaran Laos, Kemboja dan Vietnam selepas kerajaan Thailand bersetuju melonggarkan sekatan kastam yang sebelum ini menjadi halangan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persetujuan itu dicapai hasil perbincangan dengan rakan sejawatnya dari negara Gajah Putih itu dan dijangka memperkukuh perdagangan rentas sempadan, khususnya bagi sektor pertanian dan perikanan negara.

Iklan
Iklan

"Maknanya peluang perdagangan untuk Malaysia daripada bidang perikanan dan pertanian supaya melepasi sekatan-sekatan biasa kastam dapat dikendalikan,” katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Dalam pada itu Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, pembangunan BEZ Malaysia-Thailand merupakan sebahagian daripada strategi pembangunan wilayah di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 yang bertujuan merancakkan pertumbuhan ekonomi di kawasan utara Semenanjung serta selatan Thailand.

Iklan

Menurutnya, pembangunan tersebut bukan sahaja melibatkan Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Sadao, malah diperluaskan ke Rantau Panjang, Kelantan dengan kerjasama kerajaan negeri bagi mempercepat pelaksanaannya.

"Jadi di zon ekonomi sempadan, ia termasuk Chuping Valley Industrial Area, Kulim Hi-Tech dan Perlis Inland Port. Ini penting kerana Perlis Inland Port menjalar hingga ke Laos dan kita belanjakan RM327 juta untuk maksud tersebut.

Iklan

"Tentunya Bukit Kayu Hitam, Kedah Rubber City (KRC), pembinaan Jambatan Sungai Golok dan Rantau Panjang, itu menelan RM45 juta dan kita telah cadangkan kepada kerajaan negeri supaya membangunkan kawasan di persekitaran Rantau Panjang dari segi perdagangan, peniaga dan perusahaan kecil, terutama dalam kalangan masyarakat Melayu Bumiputera.

"Kerajaan Persekutuan juga memutuskan supaya projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dikembangkan dari Tumpat ke Rantau Panjang serta dalam perbincangan dengan Perdana Menteri Anutin, kita cadangkan supaya laluan kereta api itu dapat diteruskan ke Thailand dengan jalur sama yang dibincangkan oleh Kementerian Pengangkutan," jelasnya.