MPT nafi dakwaan Pekan Sehari Temerloh ditutup tiga minggu

Iklan
Poster penafian penutupan Pekan Sehari Temerloh yang dikeluarkan oleh MPT.

KUANTAN – Dakwaan yang tular di media sosial bahawa Pekan Sehari Temerloh akan ditutup kepada pengunjung selama tiga minggu adalah tidak benar.

Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) dalam satu kenyataan memaklumkan, dakwaan berkenaan tidak benar dan tidak pernah dikeluarkan oleh pihaknya.

Iklan
Iklan

Katanya, Pekan Sehari Temerloh masih beroperasi seperti biasa dan tiada sebarang keputusan atau arahan penutupan dikeluarkan.

"Merujuk kepada satu hantaran yang sedang tular di media sosial berkaitan dakwaan bahawa Pekan Sehari Temerloh akan ditutup kepada pengunjung selama tiga minggu, MPT ingin menegaskan bahawa kenyataan tersebut adalah tidak benar dan tidak pernah dikeluarkan oleh pihak MPT," ujarnya melalui hantaran yang dikongsi di Facebook.

Iklan

Sehubungan itu, MPT menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak disahkan kerana ia boleh mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Selain itu, penyebaran berita palsu berkenaan juga dikhuatiri memberi kesan kepada peniaga serta pengunjung yang bergantung kepada operasi Pekan Sehari Temerloh.

Iklan

"MPT turut menyeru orang ramai supaya mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih hanya melalui saluran rasmi Majlis Perbandaran Temerloh bagi mengelakkan salah faham serta penyebaran berita tidak benar," ujarnya.

Terdahulu, satu hantaran tular di platform Thread mendakwa pekan sehari terpanjang di Malaysia itu akan ditutup kepada pengunjung luar selama tiga minggu kerana kesesakan melampau mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

"Untuk perhatian, Pekan Sari Temerloh akan ditutup kepada pengunjung selama tiga minggu disebabkan kesesakan melampau.

"Warga luar boleh ke Pekan Sari Bentong atau Raub. Bagi la peluang warga Temerloh merayap di pekan sari kami pula untuk tiga minggu. Kami ni sudah lapan bulan tak dapat ke pekan sari tau dak," dakwanya.