Federalisme bukan alat kempen politik

Iklan
Keputusan PRN Johor memperlihatkan bahawa naratif sedemikian tidak lagi mudah mempengaruhi pengundi. Gambar kecil: Muna Rime

DALAM kehangatan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, antara naratif yang paling kerap diulang ialah pembangunan akan bergerak lebih pantas sekiranya kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan berada dalam jajaran politik yang sama.

Peruntukan dikatakan lebih mudah disalurkan, projek mega lebih cepat diluluskan dan pelaburan lebih rancak mengalir apabila Putrajaya dan Kota Iskandar ditadbir oleh parti yang sehaluan.

Iklan
Iklan

Perhatian terhadap naratif sedemikian, walaupun kelihatan munasabah pada luaran, harus diimbangi dengan penelitian kritis terhadap hakikat sistem federalisme negara kita.

Persoalan yang wajar direnungkan dalam menilai kempen PRN Johor kali ini ialah adakah hak pembangunan sesebuah negeri wajar digadaikan semata-mata atas faktor perbezaan warna politik? Untuk mencari jawapannya, kita perlu kembali kepada asas pembentukan negara.

Iklan

Walaupun Malaysia mengamalkan sistem Persekutuan, sebahagian besar kantung negara berada di bawah kawalan Kerajaan Persekutuan yang menguasai sumber hasil utama seperti cukai pendapatan, cukai syarikat dan duti kastam. Kerajaan negeri pula hanya bergantung kepada sumber hasil yang jauh lebih terhad.

Maka tidak menghairankan apabila banyak agenda pembangunan negeri, sama ada melibatkan infrastruktur, mahupun pembangunan ekonomi, bergantung kepada geran dan peruntukan pembangunan daripada Kerajaan Persekutuan.

Iklan

Dalam sebuah negara Persekutuan, hubungan yang harmoni antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan boleh menyelesaikan banyak isu dan keluh-kesah rakyat. Namun hubungan politik yang baik sepatutnya bertindak hanya sebagai pemangkin, bukannya prasyarat.

Jika rakyat melihat projek pembangunan sebagai ganjaran atau hukuman kerana memilih parti tertentu, ia adalah satu isyarat kecemasan kepada kepercayaan rakyat terhadap sistem federalisme yang menjadi asas pembentukan negara.

Isu Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ) menjadi contoh yang menarik untuk diperhatikan dalam konteks ini. Perdebatan yang berlaku antara Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sekadar menyentuh soal bila Pelan Induk JS-SEZ patut diumumkan. Apa yang lebih penting ialah persepsi yang terhasil daripada polemik tersebut.

Perdana Menteri memaklumkan bahawa pelan induk itu belum boleh dilancarkan kerana memerlukan persetujuan Singapura. Menteri Besar Johor pula berpendirian bahawa dokumen tersebut merupakan Pelan Induk Malaysia yang telah melalui proses libat urus dan tidak memerlukan tandatangan Singapura untuk diumumkan. Menurut beliau, kelewatan tersebut hanya menimbulkan ketidaktentuan kepada pelabur dan melambatkan manfaat ekonomi kepada Johor.

Siapa yang benar dari sudut prosedur pentadbiran bukanlah persoalan utama. Yang lebih penting ialah gambaran yang terbentuk apabila sebuah kerajaan negeri dilihat terpaksa mendesak Kerajaan Persekutuan agar mempercepatkan pelaksanaan agenda pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat negeri itu sendiri.

Lebih-lebih lagi apabila keadaan ini berlaku menjelang pilihan raya, ia mudah menimbulkan tanggapan bahawa kelancaran pembangunan akhirnya bergantung kepada pertimbangan politik, bukannya kepada prinsip pentadbiran yang adil dan saksama.

Isu federalisme dalam kempen PRN Johor kali ini terus hangat apabila Menteri Besar Johor mengeluarkan kenyataan bahawa setiap tahun, kerajaan negeri menyalurkan bantuan kepada sekolah dan bilik guru, selain menyokong operasi CIQ, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), kem tentera, hospital, klinik serta pelbagai kemudahan kesihatan awam, meskipun semua sektor tersebut berada di bawah bidang kuasa kementerian-kementerian di peringkat Persekutuan.

Pendekatan Kerajaan negeri yang meletakkan kepentingan rakyat mengatasi perbezaan politik menjadi satu tamparan besar kepada naratif kempen yang meletakkan kemajuan negeri atas ihsan Persekutuan.

Hakikatnya, pengalaman seperti ini bukan hanya berlaku di Johor. Negeri-negeri lain turut melalui situasi yang hampir sama. Kerajaan negeri sering membantu menjayakan dasar dan program Kerajaan Persekutuan walaupun perkara berkenaan berada di bawah tanggungjawab Persekutuan.

Di Terengganu misalnya, kerajaan negeri telah mendahulukan sebahagian kos pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berjumlah RM1.43 bilion, sedangkan lebuh raya merupakan infrastruktur di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

Sebagaimana polemik JS-SEZ di Johor menimbulkan tanggapan bahawa agenda pembangunan negeri bergantung kepada pertimbangan Kerajaan Persekutuan, isu LPT2 pula mengundang persoalan sama apabila sebuah negeri merasakan sumbangan dan tuntutan yang dianggap sebagai haknya tidak diberikan layanan yang sewajarnya.

Dalam sebuah negara Persekutuan, persepsi sedemikian tidak boleh dipandang ringan. Tidak wajar pelaksanaan tanggungjawab di bawah bidang kuasa Persekutuan dijadikan modal politik atau alasan untuk menuntut penghargaan, kerana setiap peringkat kerajaan sekadar melaksanakan amanah yang telah diperuntukkan oleh Perlembagaan, bukannya memberikan ihsan kepada rakyat.

Atas sebab itu, naratif kempen yang mengaitkan pembangunan dengan keperluan memilih parti yang sama seperti Kerajaan Persekutuan perlu dinilai secara lebih kritis. Pilihan raya sepatutnya menentukan siapa yang mentadbir negeri, bukannya menentukan sama ada sesebuah negeri layak menikmati pembangunan.

Rakyat berhak memilih kerajaan negeri berdasarkan prestasi, dasar dan keupayaan mentadbir, bukannya kerana bimbang hak pembangunan mereka akan terjejas jika membuat pilihan politik yang berbeza.

Keputusan PRN Johor memperlihatkan bahawa naratif sedemikian tidak lagi mudah mempengaruhi pengundi. Ini seharusnya menjadi pengajaran kepada semua pihak bahawa rakyat mahu melihat sebuah kerajaan yang berkhidmat kepada semua negeri secara adil, bukannya menggunakan kelebihan kuasa fiskal atau pentadbiran sebagai alat kempen pilihan raya.

Jika naratif ini terus diulang-ulang pula di kempen PRN Negeri Sembilan, ia bukan sahaja semakin kurang meyakinkan, malah berisiko menghakis semangat federalisme yang menjadi asas negara.

Apa yang diperlukan kini ialah politik yang lebih segar iaitu politik yang bersaing melalui idea, dasar dan prestasi, bukannya melalui persepsi bahawa hak pembangunan bergantung kepada parti yang memerintah.

*Muna Rime ialah Pengarah Penyelidikan Dasar dan Undang-undang, Insight Development Centre (INDEC)