KEKALAHAN besar Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 tidak boleh diselesaikan dengan mencari kambing hitam.
PN gagal memenangi kesemua 33 kerusi yang ditandinginya, kehilangan tiga kerusi penyandang dan hanya memperoleh kira-kira 5.4 peratus undi popular negeri. Lebih parah, 21 daripada 33 calonnya kehilangan wang deposit.
Namun begitu, belum pun bedah siasat menyeluruh dilakukan, muncul suara daripada kalangan Bersatu yang menuding jari kepada Pas dan mendesak Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, meletakkan jawatan.
Seruan ini sebenarnya adalah percubaan mengalihkan perhatian daripada krisis sebenar yang sedang menenggelamkan Bersatu. Sekiranya Bersatu benar-benar percaya bahawa Pas telah mengkhianatinya, mensabotaj pilihan raya dan gagal menguruskan PN, maka jalan paling jujur ialah Bersatu keluar daripada PN.
Tubuhkan pakatan baharu dan buktikan kekuatan Bersatu tanpa Pas, tanpa jentera Pas dan tanpa berlindung di sebalik lambang PN. Bersatu tidak boleh terus berada dalam PN sambil setiap kali kalah menyalahkan Pas dan kepimpinan gabungan.
Prestasi Bersatu sendiri amat buruk
Bersatu mempertaruhkan 16 calon dalam PRN Johor. 10 daripada 16 calon Bersatu gagal memperoleh satu perlapan undi dan kehilangan deposit. Maknanya, sebahagian besar calon Bersatu bukan sekadar kalah, tetapi gagal mencapai tahap sokongan minimum untuk mempertahankan deposit. Bersatu sendiri yang memilih calon-calonnya dan bertanggungjawab membina jentera di kerusi yang ditandinginya.
Di Bukit Kepong, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Bersatu Johor merangkap Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal, tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 10,761 undi. Sahruddin yang memenangi kerusi itu pada 2022 dengan majoriti 710 undi hanya memperoleh 5,625 undi atau 21.08 peratus kali ini.
Bukit Kepong bukan kerusi biasa. Ia terletak dalam lingkungan pengaruh politik Pagoh yang begitu sinonim dengan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sekiranya Pengerusi Bersatu Johor sendiri boleh kalah dengan jurang melebihi 10,000 undi di kawasan yang dianggap mempunyai pengaruh presiden parti, bagaimana kekalahan itu boleh diletakkan sepenuhnya di bahu Pas?
Di Gambir pula, kerusi yang pernah diwakili Muhyiddin, calon PN hanya memperoleh 1,888 undi atau 8.58 peratus dan kehilangan deposit. BN menang dengan 13,427 undi, manakala PH memperoleh 6,693 undi.
Dua keputusan ini menggambarkan masalah yang jauh lebih mendasar, iaitu Bersatu sudah kehilangan pengaruh di halaman politik presidennya sendiri.
Jentera Johor sudah lumpuh sebelum Dr Sam memimpin PN
Bersatu juga tidak boleh berpura-pura bahawa parti itu memasuki PRN Johor dalam keadaan kukuh dan tersusun. Pada 19 Februari 2026, sebanyak 11 daripada 26 bahagian Bersatu Johor dilaporkan bubar selepas lebih separuh jawatankuasa bahagian masing-masing meletakkan jawatan.
Antara bahagian terlibat ialah Pontian, Simpang Renggam, Sembrong, Mersing, Johor Bahru, Pengerang, Labis, Tanjung Piai, Sri Gading, Ledang dan Pulai.
Pembubaran hampir separuh bahagian Bersatu Johor berlaku sebelum Ahmad Samsuri dilantik sebagai Pengerusi PN pada 22 Februari 2026. Ertinya, apabila Samsuri mengambil alih kepimpinan gabungan, struktur Bersatu Johor sudah pun mengalami kerosakan serius.
Bagaimanakah seseorang yang baru mengambil alih kepimpinan PN boleh dipersalahkan kerana gagal memulihkan dalam beberapa bulan sebuah parti yang sudah kehilangan hampir separuh struktur bahagiannya di Johor?
Menjelang hari pengundian pula, krisis itu masih berterusan. Pada 10 Julai, sehari sebelum pengundian, seorang lagi Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Aziman Hadi Nazri, meletakkan jawatan dan keluar parti. Pada hari yang sama, kepimpinan serta kira-kira 150 ahli Bersatu Bahagian Bukit Bintang turut menamatkan keahlian.
Bersatu memasuki pilihan raya bukan dalam keadaan bersatu, tetapi ketika pemimpinnya saling memecat, menggantung, mencabar dan meninggalkan parti. Kemelut seperti ini tidak mungkin tidak memberi kesan kepada moral jentera, pembiayaan, penyelarasan kempen, pemilihan calon dan keyakinan pengundi.
Maka lebih munasabah untuk dikatakan bahawa kekalahan PN di Johor banyak dipengaruhi oleh krisis dalaman Bersatu sendiri.
Isu korum bukti krisis sudah sampai ke pusat
Krisis Bersatu kini bukan lagi sekadar pertikaian beberapa individu. Ia sudah menimbulkan persoalan terhadap keupayaan badan tertinggi parti untuk berfungsi.
Empat Ahli Parlimen Bersatu telah menghantar aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubung dakwaan bahawa MPT parti itu tidak lagi mempunyai korum. Aduan tersebut menyatakan bahawa pemecatan, penggantungan dan peletakan jawatan telah melibatkan lebih separuh daripada keanggotaan asal MPT.
Datuk Dr Radzi Jidin sendiri mengesahkan bahawa MPT kini mempunyai 23 ahli berbanding 49 orang asal. Beliau bagaimanapun mentafsirkan bahawa korum perlu dikira berdasarkan 23 ahli semasa, menyebabkan hanya 12 orang diperlukan untuk mengadakan mesyuarat.
Angka itu sudah cukup menceritakan masalah sebenar. Sama ada korum sah ialah 12 atau 25 orang, hakikatnya lebih separuh daripada komposisi asal MPT tidak lagi berfungsi seperti sebelumnya akibat pemecatan, penggantungan, peletakan jawatan atau tindakan keluar parti.
Bersatu bukan sedang membawa kekuatan kepada PN. Bersatu sedang membawa pertelingkahan dalamannya masuk ke dalam PN di mana krisis kekurangan korum ini boleh menjejaskan kedudukan PN sendiri.
Mengapa standard Sabah tidak digunakan di Johor?
Tindakan sesetengah pemimpin Bersatu mendesak Pengerusi PN meletakkan jawatan juga memperlihatkan satu standard yang berubah-ubah.
Selepas prestasi buruk PN dalam PRN Sabah, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, mendesak Datuk Seri Dr Ronald Kiandee meletakkan jawatan kerana didakwa gagal mengetuai MPN Sabah, gagal menyediakan perancangan strategik lebih awal dan gagal mengemukakan laporan pasca pilihan raya.
Datuk Sanjeevan Ramakrishnan pula secara terbuka menuntut Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ronald Kiandee memikul tanggungjawab. Hujahnya ialah apabila autoriti penuh diberikan kepada pengarah pilihan raya dan ketua pimpinan negeri, cubaan menyalahkan pihak lain menunjukkan kegagalan memikul tanggungjawab.
Sekiranya prinsip itu betul di Sabah, prinsip sama mesti digunakan di Johor. Di Johor, pihak pertama yang perlu menjawab ialah Pengerusi Bersatu Johor, pengurusan pilihan raya Bersatu, jawatankuasa pemilihan calon Bersatu dan kepimpinan pusat parti yang gagal menyelesaikan krisis dalaman sebelum pilihan raya.
Mengapa selepas kalah di Sabah, Bersatu menuntut Pengerusi Bersatu Sabah dan pengarah pilihan rayanya bertanggungjawab, tetapi selepas kalah di Johor, Pengerusi PN pula yang hendak dijadikan mangsa?
Bersatu wajib keluar daripada PN
Bersatu kini perlu membuat pilihan yang jujur. Sekiranya Bersatu masih percaya kepada PN, ia perlu menghentikan serangan terbuka terhadap Pas dan Pengerusi PN, menyelesaikan krisis dalamannya serta menerima keputusan bedah siasat secara kolektif.
Namun begitu, sekiranya Bersatu benar-benar percaya bahawa Pas ialah punca kekalahannya, mengkhianati kerjasama dan tidak lagi boleh dipercayai, maka Bersatu wajib keluar daripada PN.
Adalah sesuatu yang tidak bermaruah untuk Bersatu terus menggunakan nama, logo dan kedudukan dalam PN sambil menuduh parti yang mengetuai gabungan itu sebagai pengkhianat.
Bersatu boleh sahaja menubuhkan pakatan baharu bersama mana-mana parti yang sehaluan dengannya. Dengan itu, Bersatu boleh menguji sama ada kekuatan politiknya benar-benar datang daripada jenama sendiri atau selama ini banyak bergantung kepada jentera, akar umbi dan undi penyokong Pas. Pada masa sama, PN juga boleh disusun semula tanpa terus dibebani konflik dalaman Bersatu.
Gabungan politik memerlukan parti komponen yang stabil, berdisiplin dan mampu menunaikan tanggungjawab organisasi. Ia tidak boleh sentiasa menjadi tempat perlindungan bagi sebuah parti yang mahu menikmati manfaat gabungan ketika menang tetapi menyalahkan rakan apabila kalah.
Jika Bersatu tidak lagi mempercayai PN, keluarlah secara terhormat dan tubuhkan pakatan lain. Jangan terus menjadi beban kepada PN dan kemudiannya menyalahkan PN kerana tidak mampu memikul beban tersebut.
*Muhammad Afifi Abdul Razak ialah penganalisis politik tempatan