TMESA lancar 'Road to London', sasar lahir pelajar Besut bertaraf global

Iklan
Muhamad Fasri (enam dari kanan) menyerahkan cek sumbangan berjumlah RM100,000 kepada Muhammad Nasir (tujuh dari kiri) sebagai suntikan awal pelaksanaan program "Road To London".

SHAH ALAM - Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Menengah Tengku Mahmud (TMESA), Besut, Terengganu melancarkan inisiatif baharu 'Road to London' bagi melahirkan graduan bertaraf antarabangsa.

Penaung TMESA, Datuk Dr Muhamad Fasri Samsudin berkata, program tersebut merupakan fasa baharu selepas kejayaan program Sponsor A Student (SAS) yang dilaksanakan sejak hampir dua dekad lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sasaran utama adalah memilih pelajar terbaik setiap tahun daripada kumpulan penerima SAS untuk dibimbing sehingga memperoleh ijazah kelas pertama di universiti luar negara.

"Impian kami ialah apabila pelajar ini berusia sekitar 20-an, mereka sudah berjaya menamatkan pengajian dengan keputusan kelas pertama dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa," katanya.

Iklan

Beliau berkata, inisiatif itu turut memberi motivasi kepada penerima SAS kerana mereka kini mempunyai laluan yang lebih jelas untuk meneruskan pengajian hingga ke luar negara sekiranya menunjukkan prestasi cemerlang.

"Kalau daripada kira-kira 70 pelajar yang kita bantu setiap tahun, kita dapat menghantar tiga hingga lima orang ke universiti luar negara, itu sudah menjadi satu pencapaian yang besar.

Iklan

"Kita percaya anak-anak Besut mempunyai potensi yang sama hebat jika diberikan peluang, bimbingan dan sokongan yang mencukupi," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Muhammad Nasir (kiri) bersama Penaung TMESA, Muhammad Fasri

Sementara itu, Presiden TMESA, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, program itu mendapat suntikan awal daripada Muhamad Fasri yang juga pencetus idea dengan menyumbang sebanyak RM100,000.

"Program tersebut bermula tahun ini dengan mengenal pasti bakat-bakat pelajar untuk dibentuk sehingga berpotensi untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara sama ada dalam bidang kejuruteraan, perundangan, kewangan dan sebagainya.

"Jadi kita hendak uar-uarkan kepada kepada anak-anak untuk ambil peluang seperti mana SAS yang dilaksanakan sebelum ini yang mana kita membelanjakan lebih RM1.2 juta dibelanjakan bagi membiayai pendidikan sekitar 1,400 pelajar dari keluarga kurang berkemampuan," katanya.

Tambah beliau, sokongan berterusan bekas pelajar serta orang ramai yang mahu menyumbang mampu memperkukuhkan pembangunan pendidikan anak-anak dari daerah terpencil itu.