RINGGIT ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), mata wang utama serta unit serantau pada Isnin, susulan ketidaktentuan geopolitik yang berterusan di Asia Barat.
Pada jam 6 petang, mata wang tempatan naik kepada 4.0680/0730 berbanding dolar AS daripada 4.0695/0745 ketika ditutup pada Jumaat lepas.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pelabur terus menilai ketidaktentuan berkaitan gencatan senjata AS-Iran serta aliran bebas kapal yang melalui Selat Hormuz.
Beliau berkata, harga minyak mentah kekal tinggi, dengan minyak mentah West Texas Intermediate dan Brent masing-masing diniagakan pada US$73.02 dan US$77.80 setong.
"Sementara itu, niaga hadapan kadar faedah AS menunjukkan 55.7 peratus kebarangkalian peningkatan Kadar Dana Persekutuan sebanyak suku mata pada September.
"Oleh itu, ini dijangka terus memberikan sokongan kepada dolar AS dalam jangka masa terdekat,” katanya kepada Bernama.
Pada akhir dagangan, ringgit mencatat prestasi tinggi berbanding mata wang utama.
Unit tempatan lebih stabil berbanding yen Jepun kepada 2.5110/5142 daripada 2.5148/5181 ketika ditutup pada Jumaat lepas, dan mengukuh berbanding pound British kepada 5.4475/4542 daripada 5.4572/4639.
Unit tempatan tinggi berbanding euro kepada 4.6501/6558 daripada 4.6502/6559.
Ringgit juga menunjukkan prestasi lebih baik berbanding mata wang serantau ASEAN.
Mata wang domestik lebih kukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1489/1530 daripada 3.1520/1561 dan tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 224.6/225.0 daripada 225.2/225.6.
Ringgit juga meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.1953/2151 daripada 12.2101/2302 dan naik berbanding peso Filipina kepada 6.60/6.62 daripada 6.61/6.62 pada Jumaat lepas.- Bernama