KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah Singapura bukan sekadar jiran terdekat dengan Malaysia malah merupakan rakan yang amat dihargai dan menjadi antara pemacu utama perdagangan dan pelaburan di negara ini.
Menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Isnin, Seri Paduka Baginda bertitah perdagangan dua hala antara kedua-dua negara yang terus mencatatkan pertumbuhan meskipun berdepan keadaan ekonomi global yang tidak menentu, mencerminkan keutuhan hubungan dua hala Malaysia dan Singapura.
"Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) juga mencerminkan kerjasama kita untuk memajukan pertumbuhan ekonomi serantau serta mewujudkan peluang baharu dalam ASEAN,” titah Sultan Ibrahim.
Seri Paduka Baginda bertitah demikian semasa pertemuan bersama Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam dalam Istiadat Sambutan Negara bersempena dengan Lawatan Negara pertama beliau ke Malaysia sejak memegang jawatan pada September 2023.
Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda turut menyuarakan keyakinan pelancaran Sistem Transit Segera Johor Bahru-Singapura (RTS Link) pada penghujung 2026 akan mengukuhkan lagi jaringan keterhubungan Malaysia dan Singapura.
"Bersama dengan JS-SEZ, saya yakin RTS Link akan memainkan peranan penting dalam menarik pelaburan serta mengukuhkan kedudukan Malaysia dan Singapura sebagai pintu masuk utama ke pasaran ASEAN,” titah Yang di-Pertuan Agong.
Terdahulu ketibaan Tharman dan isteri Jane Ittogi Shanmugaratnam pada jam 10 pagi Isnin disambut Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Fadillah Yusof dan barisan menteri kabinet.
Tharman sedang mengadakan Lawatan Negara selama tiga hari ke Malaysia bermula 13 hingga 15 Julai atas jemputan Yang di-Pertuan Agong. Kementerian Luar memaklumkan lawatan itu sebagai membalas Lawatan Negara Sultan Ibrahim ke Singapura pada 6 dan 7 Mei 2024.
Menurut kementerian itu, Singapura kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia di dunia dan rakan dagang terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota ASEAN.
Jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Singapura mencecah RM402.35 bilion (AS$93.97 bilion) pada 2025, peningkatan 1.5 peratus berbanding 2024.
Dari tempoh Januari hingga Mei 2026, jumlah perdagangan dua hala meningkat 14.5 peratus kepada RM189.90 bilion (AS$47.87 bilion), berbanding RM165.93 bilion (AS$37.65 bilion) dicatatkan dalam tempoh sama pada 2025. - Bernama
lawatan negara