SHAH ALAM - Centre for Independent Journalism (CIJ), ARTICLE 19, Center to Combat Corruption and Cronyism (C4 Center) serta pertubuhan masyarakat sivil (CSO) menyatakan kekecewaan mendalam terhadap versi Rang Undang-undang Kebebasan Maklumat (RUU FOI) yang dibentangkan sewaktu bacaan pertama di Dewan Rakyat pada Isnin.
CIJ dalam satu kenyataan bersama berkata, pihaknya mengambil maklum usaha kerajaan untuk melaksanakan undang-undang kebebasan maklumat di peringkat persekutuan.
Bagaimanapun, menurut kenyataan tersebut, RUU FOI bukan mercu tanda reformasi yang dijanjikan kepada orang awam di negara ini.
Justeru, pihaknya meminta kerajaan supaya merujuk RUU FOI kepada Jawatankuasa Pilihan Khas untuk penelitian menyeluruh berdasarkan setiap fasal yang melibatkan CSO, wakil wartawan, ahli akademik, profesion perundangan dan pemegang taruh.
"Perundangan ini sangat bermasalah, regresif dan mewujudkan prosedur pentadbiran yang menyekat serta tidak selaras standard undang-undang hak asasi antarabangsa, di samping menjejaskan prinsip asas hak untuk mendapatkan maklumat.
"RUU FOI yang dirangka ini akan berfungsi dengan sangat tidak berkesan bagi orang awam melaksanakan hak mendapatkan maklumat yang dijamin di bawah Artikel 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.
"Bahkan, RUU FOI ini seolah-olah diwujudkan untuk mempromosi budaya kerahsiaan berbanding keterbukaan dan ketelusan," katanya.
CIJ berpandangan, RUU tersebut mengetepikan prinsip utama yang menjadi asas dalam rangka kerja FOI iaitu gagal untuk mengenal pasti keutamaan hak mendapatkan maklumat dan menggugurkan prinsip pendedahan maksimum.
Malah, menurutnya, perundangan sedemikian mewujudkan prosedur pentadbiran yang dikawal secara ketat bagi permohonan maklumat sementara memelihara setiap halangan untuk pendedahan maklumat sedia ada.
"Pada bahagian Mukadimah dan Pernyataan Penjelasan terang-terangan menyatakan bahawa RUU FOI ini ‘sepenuhnya bersifat prosedur semata-mata’.
"Ia juga tidak mewujudkan hak mendapatkan maklumat secara substantif, memelihara keagungan semua undang-udang kerahsiaan terutamanya Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 serta menafikan akses mendapat maklumat sebagai kebebasan asasi.
"Hal ini menjadikan RUU FOI bertindih. Sebuah perundangan mengenai kebebasan maklumat bermula dengan prinsip yang jelas dan semua maklumat dipegang badan awam adalah milik orang awam secara semula jadi melainkan terdapat kemudaratan nyata atau kepentingan awam mendesak untuk merahsiakannya," ujarnya.
Kenyataan tersebut mendakwa, RUU FOI berfungsi untuk mengekang berbanding meluaskan kebebasan demokratiknya.
Tambahnya lagi, ia disifatkan sebagai satu penggubalan yang tidak kompeten sejak dari awal lagi.
Malah kata CIJ, versi yang dibentang kini menjejaskan teras objektif dan tujuan undang-undang kebebasan maklumat.
Pihaknya turut menekankan beberapa isu yang timbul antara lain, daripada mewujudkan hak untuk mengakses dan prinsip pendedahan maksimum, RUU FOI memelihara OSA secara keseluruhan serta mengecualikan daripada operasinya mana-mana dokumen atau kategori maklumat dilindungi dalam mana-mana undang-undang bertulis.
"Kerajaan telah bertindak untuk memberi keabsahan dan menyuburkan budaya kerahsiaan yang berlebihan berbanding memansuhkannya (lihat Fasal 2(3) dan Pernyataan Penjelasan).
"Kedua, sementara semua undang-undang maklumat mengiktiraf pengecualian yang sah, pengecualian yang terkandung dalam RUU FOI haruslah ditafsir secara khusus dan diberikan alasan yang boleh menunjukkan kemudaratan nyata.
"Pengecualian sedia ada meluas, kabur, dan berupaya untuk melindungi sebahagian besar kategori maklumat kerajaan daripada penelitian awam termasuk nasihat dalaman, pertimbangan, kepentingan komersil dan maklumat dibekalkan pihak ketiga," jelasnya.
Ketiga, kata CIJ lagi, RUU FOI mengehadkan akses kepada maklumat berteraskan tujuan dan mengancam sekatan keterlaluan.
Jelas pertubuhan itu, akses yang dinyatakan dalam RUU FOI dihadkan kepada warganegara berusia 18 tahun ke atas serta tertakluk kepada verifikasi identiti dan memerlukan justifikasi daripada pemohon untuk menyatakan sebab mereka menginginkan maklumat tersebut.
"Keempat, peruntukan yang membimbangkan adalah Fasal 22 di mana ia mengisytiharkan bahawa tiada apa-apa dalam akta tersebut boleh ditafsirkan sebagai membentuk suatu kebebasan asasi di bawah Bahagian II Perlembagaan Persekutuan.
"Kelima, kekurangan kebebasan dan autoriti dalam badan kawal selia. Walaupun RUU FOI memperuntukkan semakan oleh Akta Ombudsman, secara tidak langsung bidang kuasanya dilucutkan daripada memantau kategori maklumat yang sebahagian besar melibatkan kerahsiaan termasuk maklumat dilindungi di bawah akta ini dan undang-undang kerahsiaan lain," ulasnya panjang.