JIM sedia syor naik kompaun majikan gajikan warga asing secara tidak sah

Iklan
Zakaria ditemui pemberita selepas Op Mega di Jalan Kenanga, Kuala Lumpur pada Isnin. MOHD HALIM ABDUL WAHID

KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) akan mengkaji kadar kompaun maksimum RM10,000 terhadap majikan yang menggaji pekerja asing secara tidak sah sekiranya penguatkuasaan itu masih gagal memberi kesan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, masih terdapat majikan yang tidak serik menggaji pekerja asing secara tidak sah walaupun tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan.

Iklan
Iklan

“Kompaun maksimum terhadap majikan ialah RM10,000 bagi setiap pekerja asing yang digajikan secara tidak sah.

“Jika kadar itu masih tidak berkesan, kita akan mengkajinya dan kemungkinan mencadangkan kepada kerajaan supaya jumlah kompaun dinaikkan,” katanya pada sidang media selepas Op Mega di sekitar Jalan Kenanga di sini pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata, terdapat majikan yang dikenakan kompaun sehingga ratusan ribu ringgit kerana menggaji ramai pekerja asing tanpa mematuhi undang-undang.

Katanya, tindakan tegas yang diambil mula menimbulkan kebimbangan dalam kalangan majikan.

Iklan

“Kita percaya tindakan kompaun yang tinggi terhadap setiap pekerja asing yang digajikan secara tidak sah boleh memberikan kesedaran kepada majikan.

“Namun, masih ada yang memilih mengambil pekerja asing secara tidak sah kerana mahu mengelakkan kos pengambilan secara sah,” katanya.

Zakaria berkata, pengambilan pekerja asing melalui saluran sah biasanya membabitkan pelbagai kos, termasuk fi pemprosesan dan pengangkutan.

Jelasnya, sesetengah majikan memilih pekerja asing tanpa dokumen kerana hanya perlu membayar gaji yang lazimnya lebih rendah berbanding pekerja diambil melalui saluran sah.

“Mereka mungkin tidak perlu membayar fi pemprosesan, kos pengangkutan dan pelbagai kos lain. Sebab itu ada yang lebih suka menggaji pekerja asing secara tidak sah dan hanya membayar gaji,” katanya.

Jelas Zakaria, majikan boleh menghantar pulang pekerja berkenaan secara sukarela menerusi Program Repatriasi Migran atau membuat permohonan kuota pekerja asing secara sah melalui Kementerian Sumber Manusia.

Tambahnya, tindakan terhadap premis atau lesen perniagaan turut dibincangkan pada peringkat tertinggi bersama agensi berkaitan.

“Kita mengharapkan semua agensi mengambil tindakan tegas berdasarkan bidang kuasa masing-masing,” katanya.