KOTA KINABALU - Pakar Psikiatri Kanak-Kanak memberitahu mahkamah bahawa penilaian sejarah rawatan psikiatri dan maklumat berkaitan mental Allahyarham Zara Qairina Mahathir tiada rekod yang menunjukkan remaja itu mempunyai diagnosis penyakit mental serius.
Malah Dr Noor Aishah Rosli yang juga merupakan saksi ke-76 dalam inkues kematian Zara Qairina memaklumkan bahawa tiada rekod sejarah rawatan psikiatri yang konsisten dengan risiko menamatkan riwayat yang tinggi oleh remaja berkenaan.
"Saya juga mengambil maklum bahawa terdapat laporan pakar pemeriksaan tulisan tangan dan dokumen yang menimbulkan isu berkaitan ketulenan, pengarang, konteks dan kemungkinan campur tangan terhadap sesetengah dokumen atau helaian. Oleh itu, catatan-catatan tertentu perlu dinilai dengan berhati-hati dan tidak boleh dijadikan asas tunggal untuk membuat kesimpulan psikologi yang berat," katanya semasa membacakan keterangan bertulisnya di sini pada Isnin.
Tambah beliau lagi, dari segi personaliti, Zara Qairina menunjukkan gabungan ciri-ciri positif seperti ceria, penyayang, pemurah, suka membantu, bermotivasi, berkeyakinan, mempunyai aspirasi, aktif, mudah berkawan, dan mempunyai empati terhadap rakan-rakan.
"Pada masa yang sama, Zara juga menunjukkan ciri-ciri remaja awal seperti kepekaan terhadap penerimaan sosial, kecenderungan cemburu dalam persahabatan, keinginan untuk disayangi, reaksi emosi terhadap hubungan rakan sebaya, dan keinginan untuk menonjol secara positif.
"Ciri-ciri ini adalah biasa dalam perkembangan remaja awal dan tidak secara sendirinya menunjukkan kecenderungan membunuh diri," katanya.
Noor Aishah memaklumkan bahawa dalam laporannya itu turut menilai faktor perlindungan Zara Qairina.
"Faktor perlindungan tersebut termasuk hubungan rapat dengan ibu, sokongan keluarga, hubungan baik dengan beberapa rakan, minat terhadap sekolah dan aktiviti, aspirasi masa hadapan, penglibatan agama, motivasi akademik, sifat pemurah, identiti sosial yang positif, serta kemampuan berkongsi masalah dengan ibunya," katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa keseluruhan profil perkembangan hidup Zara Qairina dari usia sejak lahir hingga 13 tahun menunjukkan bahawa dua bukan seorang kanak-kanak yang secara konsisten menunjukkan corak kemurungan berat, pengasingan diri, ketiadaan harapan, atau niat membunuh diri yang stabil.
"Dalam konteks teori psikologi berkaitan risiko bunuh diri, termasuk model interpersonal, penilaian perlu melihat sama ada wujud rasa tidak diterima, rasa menjadi beban, kemampuan untuk mencederakan diri secara serius, serta gabungan faktor akut yang membawa kepada risiko.
"Dalam kes Zara, data yang tersedia tidak menunjukkan secara kukuh bahawa keseluruhan elemen tersebut wujud secara konsisten dan dominan sebelum kejadian.
"Saya berpendapat bahawa data yang tersedia lebih menyokong keperluan untuk menilai secara berhati-hati faktor luaran, situasional dan interpersonal yang berlaku dalam persekitaran sekolah dan asrama sebelum kejadian, berbanding membuat kesimpulan mudah bahawa kematian Zara adalah berpunca daripada konflik keluarga atau keadaan psikologi dalaman semata-mata.
"Saya juga berpendapat bahawa hubungan Zara dengan ibunya tidak wajar dilihat sebagai faktor utama secara terasing. Sebaliknya, hubungan tersebut secara keseluruhan lebih banyak menunjukkan elemen kelekatan, kasih sayang, sokongan emosi dan komunikasi terbuka," katanya.