PRN Negeri Sembilan: Pas akui berunding dengan BN

Iklan
Abdul Hadi

SEREMBAN - Pas mengakui sedang mengadakan rundingan dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos ini.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perbincangan antara kedua-dua pihak sedang berjalan dan menunjukkan perkembangan yang positif.

Iklan
Iklan

"Ya...kita sedang berusaha bekerjasama dengan BN dan pada peringkat awal lagi kita telah berusaha kerjasama untuk mengambil alih kerajaan melalui akaun bersumpah(SD), namun malangnya dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menarik diri.

"Ketika itu BN tidak menarik diri. Itu menunjukkan ada ruang untuk kita bekerjasama sejak awal lagi. Bagi menghadapi PRN ini, proses perbincangan masih sedang berjalan dan ia adalah sangat positif," katanya ditemui selepas Majlis Makan Malam Perdana Pas Negeri Sembilan di sini pada Ahad.

Iklan

Menurut beliau, Pas pada dasarnya bersetuju untuk BN mempertahankan 14 kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya lalu, manakala Pas akan kekal bertanding di tiga kerusi yang disandangnya ketika ini.

Jelasnya, baki 17 kerusi lagi akan dimuktamadkan menerusi rundingan bersama parti terbabit.

Iklan

"BN sudah mendapat 14 kerusi dan kita lima kerusi (termasuk dua kerusi Bersatu), yang baki itu kita akan bahagikan.

"Tunggu nama calon diumumkan nanti. Tapi kita terima hakikat Negeri Sembilan, BN dominasi, dia pimpin," katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa parti itu tiada masalah untuk menyerahkan jawatan Menteri Besar kepada BN, asalkan calon tersebut adalah orang Melayu-Islam.

Berkenaan logo yang akan digunakan Pas bagi menghadapi PRN, Abdul Hadi berkata, perkara itu masih belum diputuskan.

"Logo akan guna masing-masing dan Pas tidak tahu lagi sama ada mahu menggunakan logo Pas atau Perikatan Nasional (PN), itu masih dalam perbincangan," katanya.

Untuk rekod, pada PRN lalu, PH memenangi 17 kerusi yang mana DAP 11 kerusi, PKR lima kerusi dan satu Amanah.

BN menang 14 kerusi, manakala PN menang lima kerusi iaitu di DUN Bagan Pinang, Serting dan Paroi yang ditandingi Pas manakala DUN Gemas dan Labu diwakili Bersatu.