MERAK Jalanan dah beberapa kali terkena situasi sama. Baru nak masuk kereta selepas membeli-belah, tiba-tiba nampak troli pasar raya tersadai elok di belakang kereta.
Mujur sempat nampak. Kalau tidak, mahu juga troli itu menjadi 'mangsa' dilanggar. Yang hairannya, bukan susah pun hendak menolak semula troli ke tempat asal tetapi, masih ramai memilih meninggalkannya sesuka hati sebaik selesai mengangkat barang ke dalam kereta.
Bagi sesetengah orang, mungkin perkara ini dianggap remeh. Ada beranggapan, bukankah pekerja pasar raya memang ditugaskan mengutip troli?
Namun, alasan itu tidak sepatutnya dijadikan tiket mengabaikan tanggungjawab sendiri. Troli yang dibiarkan di petak parkir bukan sahaja menghalang pengguna lain, malah boleh bergerak sendiri jika ditiup angin atau berada di kawasan yang sedikit berbukit.
Akibatnya, kenderaan orang lain pula yang akan jadi mangsa. Percayalah, memulangkan troli ke tempat asal hanya mengambil masa tidak sampai beberapa minit.
Langkah yang sedikit itu sebenarnya melambangkan sikap bertanggungjawab dan rasa hormat terhadap kemudahan awam serta pengguna lain.
Kadangkala kita terlalu pantas mengagumi disiplin masyarakat di luar negara, sedangkan perkara asas seperti memulangkan troli pun masih dipandang ringan.
Merak Jalanan berharap budaya meninggalkan troli sesuka hati tidak lagi menjadi kebiasaan. Jangan kerana mahu cepat atau malas berjalan beberapa langkah, orang lain pula terpaksa menanggung akibatnya.
Bak kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Kalau mampu menolak troli yang penuh dengan barang, sudah tentu tidak sukar untuk menolaknya semula ke tempat yang sepatutnya.