INSIDENS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banting pada 6 Julai lalu, apabila seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga didakwa menyerang rakan sekolah menggunakan senjata tajam, sepatutnya menyedarkan kita bahawa keganasan dalam kalangan pelajar bukan lagi isu disiplin biasa.
Ia sudah berkembang menjadi masalah sosial yang semakin membimbangkan.
Hakikatnya, ini bukan kes pertama. Sejak berpuluh-puluh tahun, masyarakat disajikan dengan pelbagai insiden buli, penderaan dan keganasan di sekolah.
Bezanya, dahulu ia berlaku di belakang tabir. Hari ini, semuanya tersebar dalam beberapa minit di media sosial.
Lebih membimbangkan, angka rasmi menunjukkan masalah ini semakin serius. Pada tahun lalu sahaja, sebanyak 2,889 kes buli direkodkan melibatkan 740 kes di sekolah rendah dan 2,149 kes di sekolah menengah.
Dalam tempoh sama, sebanyak 3,570 kes salah laku jenayah direkodkan oleh Kementerian Pendidikan termasuk 457 kes di sekolah rendah dan 3,113 kes di sekolah menengah.
Agak mengejutkan, tahun 2024 mencatatkan rekod tertinggi apabila 7,681 kes buli dilaporkan di seluruh negara.
Statistik ini bukan sekadar angka di atas kertas. Di sebalik setiap nombor, ada mangsa yang trauma, ibu bapa yang hidup dalam kebimbangan dan masa depan seorang anak yang mungkin berubah selama-lamanya.
Ada segelintir anak yang sejak di bangku sekolah lagi sudah menunjukkan sifat mahu berkuasa, mengawal orang lain dan menggunakan kekerasan untuk mendapatkan penghormatan.
Pendek kata, kecil-kecil lagi sudah jadi 'kapla'. Perkataan 'kapla' bukan sekadar merujuk kepada ketua kumpulan, tetapi sering dikaitkan dengan individu yang mahu dilihat paling berpengaruh, paling digeruni dan paling berkuasa dalam kelompoknya.
Mereka membina 'empayar' sendiri di sekolah, menentukan siapa yang boleh berkawan dengan siapa, siapa yang perlu mengikut arahan, malah ada yang menjadikan ugutan dan keganasan sebagai alat untuk mengekalkan pengaruh.
Lebih membimbangkan, sikap itu tidak muncul secara tiba-tiba. Ia terbentuk apabila perlakuan membuli tidak dihentikan sejak awal.
Apabila seorang pelajar berjaya menakutkan rakan-rakan tanpa dikenakan tindakan tegas, dia akan merasakan dirinya hebat.
Sedikit demi sedikit, 'keyakinan palsu' itu berkembang menjadi budaya menunjukkan kuasa. Daripada mengejek, ia berubah kepada memeras ugut.
Daripada menolak, ia menjadi memukul. Daripada mengancam secara lisan, akhirnya ada yang sanggup menggunakan senjata.
Inilah sebabnya setiap kes buli tidak boleh dipandang sebagai kenakalan remaja semata-mata. Sekolah ialah tempat membentuk karakter, bukannya medan melatih 'ketua gengster'.
Jika sejak usia belasan tahun seseorang sudah belajar bahawa rasa hormat boleh diperoleh melalui ketakutan, jangan hairan apabila dewasa nanti dia mengulangi corak yang sama di tempat kerja, dalam organisasi, di jalan raya atau dalam masyarakat.
Kita tidak mahu melahirkan generasi yang menganggap menjadi 'kapla' lebih membanggakan daripada menjadi pemimpin.
Seorang pemimpin dihormati kerana integriti dan teladan, manakala 'kapla' mahu dihormati kerana orang lain takut kepadanya. Bezanya mungkin pada persepsi, tetapi kesannya mampu menentukan wajah masyarakat pada masa hadapan.
Buli tidak pernah melahirkan manusia yang kuat. Sebaliknya, ia melahirkan individu yang menyimpan dendam, trauma dan kemarahan.
Ada mangsa yang kehilangan keyakinan diri, mengalami kemurungan, berhenti belajar, malah ada yang mengambil keputusan di luar jangka kerana tidak lagi mampu menanggung tekanan.
Justeru, ketegasan tidak lagi boleh dikompromi. Pendekatan 'You Touch, You Go' yang diperkenalkan Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki terhadap pelaku buli di institusi pendidikan Mara menghantar mesej yang jelas bahawa tiada ruang untuk pembuli.
Dasar seperti ini mungkin kelihatan keras, tetapi jauh lebih baik daripada membiarkan budaya ganas terus berakar.
Jika benar budi bahasa ialah identiti bangsa Malaysia, sudah tiba masanya budaya buli dibuang jauh-jauh. Inilah penyakit sebenar.
Kita mewariskan budaya yang salah dengan alasan, 'Aku dulu pun kena, jadi kau pun kena'. Mentaliti seperti inilah yang melahirkan pembuli baharu dalam setiap generasi!
*Azmi Tarmizi ialah Editor Eksekutif di Sinar Harian. Anak jati Felda Soeharto ini pernah menjadi SU Akhbar Perdana Menteri kesembilan