KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan ucapan tahniah kepada Datuk Onn Hafiz Ghazi, atas pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Johor hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), menyifatkan kepercayaan yang diberikan rakyat kepada Onn Hafiz sebagai satu amanah besar untuk terus memimpin Johor lebih cemerlang, dengan mengutamakan kesejahteraan rakyat, kestabilan politik serta pembangunan yang mampan.
"Insya-ALLAH, saya yakin…dengan kepimpinan, pengalaman dan iltizam yang dimiliki, Johor akan terus melakar lebih banyak kejayaan demi manfaat seluruh Bangsa Johor.
Terdahulu, Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor di hadapan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.
Beliau yang juga Pengerusi BN Johor, menerima surat tauliah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan itu dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene.
Semalam, BN memperoleh mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 selepas mencatatkan kemenangan majoriti dua pertiga dengan memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). - Bernama