Warga Malaysia meninggal dunia ketika daki Gunung Elbrus di Rusia

Iklan
Seorang warga Malaysia meninggal dunia ketika mendaki Gunung Elbrus di Rusia pada 11 Julai lepas. Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Kementerian Luar mengesahkan seorang warga Malaysia meninggal dunia ketika mendaki Gunung Elbrus di Rusia pada Sabtu (11 Julai).

Dalam satu kenyataan pada Ahad, kementerian itu yang juga dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan  bahawa mangsa merupakan sebahagian daripada tiga warga Malaysia yang menyertai ekspedisi pendakian Gunung Elbrus anjuran sebuah pengendali tempatan.

Iklan
Iklan

"Kedutaan Besar Malaysia di Moscow telah menghubungi keluarga mangsa di Malaysia serta dua lagi warga Malaysia yang menyertai ekspedisi itu bagi menyelaraskan semua urusan yang diperlukan dan menghulurkan bantuan konsular sewajarnya kepada pihak keluarga," menurut kenyataan itu pada Ahad.

Wisma Putra menyatakan pihak kedutaan akan terus berhubung dengan pihak berkuasa berkaitan di Rusia dan memantau perkembangan kes berkenaan, di samping memberikan bantuan konsular yang diperlukan bagi memastikan semua urusan berkaitan berjalan lancar.

Iklan

Pihak kementerian turut merakamkan ucapan takziah  kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia.

Gunung Elbrus yang terletak di selatan Rusia mempunyai ketinggian 5,642 meter dan merupakan gunung tertinggi di Eropah serta destinasi popular bagi pendaki gunung dari seluruh dunia. - Bernama

Iklan