Qatar gantung sementara semua aktiviti maritim ketika ketegangan AS-Iran memuncak

Iklan
Langkah itu diambil susulan ketegangan ketenteraan yang kembali memuncak antara AS dan Iran. Foto Anadolu Ajansi

ISTANBUL - Qatar menasihatkan pemilik dan pengguna kenderaan maritim pada Ahad supaya menggantung sementara pelayaran dan semua bentuk aktiviti maritim sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak, susulan pertempuran yang tercetus antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, lapor Anadolu Ajansi.

"Untuk keselamatan awam, pemilik dan pengguna kenderaan maritim termasuk bot rekreasi, bot nelayan, jet ski dan semua kenderaan maritim lain dinasihatkan untuk menggantung sementara pelayaran dan semua bentuk aktiviti maritim, bermula dari tarikh pengumuman ini sehinggalah ke satu makluman lanjut," menurut Kementerian Pengangkutan dalam satu hantaran di platform media sosial X.

Iklan
Iklan

"Kenderaan maritim yang tertakluk kepada peruntukan konvensyen maritim antarabangsa serta beroperasi mengikut peraturan dan prosedur yang ditetapkan, adalah dikecualikan," katanya lagi.

Kementerian itu berkata, langkah berjaga-jaga sementara berkenaan diambil dengan penyelarasan bersama pihak berkuasa keselamatan yang berkaitan dan menggesa"semua pihak untuk mematuhi makluman terkini ini."

Iklan

Langkah itu diambil susulan ketegangan ketenteraan yang kembali memuncak antara AS dan Iran.

Pada awal Ahad, Teheran menyatakan ia telah melancarkan serangan ke atas tapak ketenteraan AS di beberapa negara serantau sebagai tindak balas terhadap serangan Washington ke atas sasaran Iran.

Iklan

Ia berlaku selepas Markas Pemerintahan Pusat (CENTCOM) tentera AS mengumumkan pihaknya telah menyerang kira-kira 140 sasaran dalam serangan di Iran susulan satu lagi serangan Iran ke atas sebuah kapal komersial di Selat Hormuz. - Bernama-Anadolu