TOKYO - Agensi angkasa lepas Jepun pada Sabtu mengumumkan prototaip roket boleh guna semula miliknya berjaya melengkapkan ujian pertama melibatkan pelancaran dan pendaratan, sekali gus menjadi satu lagi langkah penting dalam pembangunan teknologi penjimatan kos yang ketika ini didominasi SpaceX.
Prototaip RV-X itu dilancarkan dari tapak ujian Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun (JAXA) di Noshiro, wilayah Akita sebelum mencapai ketinggian kira-kira 10 meter dan berjaya mendarat semula.
Menurut JAXA, keseluruhan penerbangan itu berdurasi selama kira-kira 40 saat.
"Projek ini dapat direalisasikan tanpa sebarang masalah. Kami akan meneliti data ujian untuk pembangunan prototaip seterusnya," kata ketua pasukan pelancaran JAXA, Takashi Ito.
Difahamkan, penggunaan roket yang boleh digunakan semula dijangka mampu mengurangkan kos pelancaran dengan ketara.
SpaceX telah mengendalikan roket boleh guna semula Falcon 9 sejak 2017.
Pada Jumaat lalu, China turut berjaya melakukan pendaratan pertama roket boleh guna semula iaitu satu pencapaian yang berpotensi mencabar penguasaan Amerika Syarikat (AS) dalam bidang berkenaan. - AFP