JAKARTA – Seorang pendakwa raya kanan Indonesia meletak jawatan pada Sabtu selepas polis menjalankan siri serbuan berkaitan siasatan rasuah termasuk di kediamannya dan merampas wang tunai melebihi AS$20 juta (RM81 juta) dalam pelbagai mata wang serta 74 kilogram jongkong emas.
Febrie Adriansyah melepaskan peranannya sebagai Jaksa Agung Muda Tindak Pidana Khusus (Jampidsus) demi memastikan proses siasatan polis berlangsung secara berkecuali.
Iklan
Iklan
Jurucakap Polis Jakarta, Budi Hermanto berkata, butiran lanjut tentang kes atau dakwaan terhadap Febrie belum didedahkan memandangkan siasatan masih berjalan.
Sebelum ini, polis memaklumkan serbuan itu adalah sebahagian daripada siasatan rasuah dan sogokan berkaitan pengurusan syarikat insurans milik kerajaan, Jiwasraya dan Asabri selain isu perolehan arang batu bagi penjanaan elektrik yang didakwa mencetuskan gangguan bekalan elektrik, baru-baru ini.
Sepanjang perkhidmatannya, Febrie menyelia siasatan dan pendakwaan jenayah bagi beberapa kes berprofil tinggi termasuk pertuduhan rasuah melibatkan pengasas syarikat pemula Gojek, Nadiem Makarim, bekas Menteri Perdagangan Thomas Lembong serta kes import bahan api secara haram membabitkan syarikat tenaga milik negara, Pertamina.
Beliau turut menganggotai pasukan petugas perhutanan di bawah pentadbiran Presiden Prabowo Subianto yang mengambil alih ladang dan lombong daripada syarikat yang didakwa melanggar peraturan penggunaan hutan.
Selain itu, Febrie juga menyelia siasatan rasuah membabitkan Agensi Pemakanan Nasional yang mengendalikan program makanan percuma di sekolah yang merupakan salah satu projek perintis Prabowo. - Agensi