Penahanan Mufti Besar Baitulmaqdis cabul kebebasan beragama - Zulkifli

Iklan
Zulkifli. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Israel yang menahan Mufti Besar Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa, Sheikh Muhammad Hussein sejurus selepas Solat Jumaat di masjid berkenaan pada Jumaat lepas.

Menterinya, Senator Dr Zulkifli Hasan dalam kenyataan berkata, meskipun Sheikh Muhammad Hussein kemudiannya dibebaskan, tindakan terhadap seorang pemimpin agama ketika melaksanakan amanahnya di masjid suci umat Islam merupakan suatu pencabulan terhadap kebebasan beragama serta menjejaskan kesucian Masjid Al-Aqsa.

Iklan
Iklan

"Jabatan ini menggesa masyarakat antarabangsa, khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), supaya bertindak tegas bagi memastikan hak beribadah, keselamatan para pemimpin agama dan status Masjid Al-Aqsa terus dipelihara selaras dengan undang-undang antarabangsa.

"Kami kekal teguh bersama rakyat Palestin serta akan terus menyokong segala usaha ke arah keamanan yang adil, mempertahankan hak asasi rakyat Palestin dan menamatkan segala bentuk penindasan terhadap mereka," katanya.

Iklan

Dalam perkembangan lain, Zulkifli turut mengajak rakyat Malaysia memperingati genap 31 tahun tragedi pembunuhan beramai-ramai Srebrenica di Bosnia dan Herzegovina yang mengorbankan lebih 8,000 lelaki dan kanak-kanak Muslim etnik Bosniak pada Julai 1995.

Beliau berkata, walaupun Srebrenica diisytiharkan sebagai 'kawasan selamat' oleh PBB, tempat itu tetap ditawan tentera Serb Bosnia, manakala lebih 1,000 mangsa masih hilang dan baki rangka jenazah terus dikenal pasti untuk dikebumikan hingga hari ini.

Iklan

"Sejarah turut merakamkan peranan Malaysia dalam memperjuangkan nasib umat Islam di Bosnia menerusi usaha bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selain penglibatan awal Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia turut membuka pintu perlindungan kepada pelarian Bosnia, menyediakan peluang pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) serta menghantar seramai 10,514 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menyertai misi pengaman PBB di Bosnia dan Herzegovina dari 1993 hingga 1998 menerusi penugasan Batalion Malaysia (MALBAT) dan Pasukan Pelaksana Damai (IFOR).

Dalam pada itu, Zulkifli menyeru anak muda menjadikan tragedi Srebrenica sebagai pengajaran untuk menolak segala bentuk kebencian, perpecahan dan kezaliman.

"Ayuh kita bersama-sama menitipkan doa agar para syuhada Srebrenica ditempatkan di maqam tertinggi di sisi Allah SWT dan seluruh keluarga yang ditinggalkan terus dikurniakan kekuatan serta ketabahan yang luar biasa. Allahimanet Bosna!," katanya. - Bernama