JOHOR BAHRU - Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah manifestasi pendirian majoriti Bangsa Johor yang memberikan keyakinan terhadap Aspirasi Maju Johor serta kepimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib berkata, keputusan itu turut mencerminkan keselesaan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) yang diketuai Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, PRN Johor juga menunjukkan kepada parti pesaing bahawa pendekatan ekstrem, janji bombastik serta perpecahan pasukan dan pertelagahan dalam kepimpinan tidak dapat diterima oleh Bangsa Johor.
"Amanah ini akan digalas sebaik dan semampunya dengan memberi fokus kepada manifesto PRN Johor dan Aspirasi Maju Johor," katanya dalam kenyataan sempena Hari Kebangkitan 2026 pada Ahad.
Manndzri berkata, BN tidak melihat kemenangan itu sebagai alasan untuk berbangga diri, sebaliknya menganggap kemenangan besar juga merupakan satu ujian yang perlu dihadapi dengan penuh kesyukuran dan sifat tawaduk.
Beliau berkata, BN akan bekerja lebih kuat bagi memastikan setiap janji kepada rakyat dipenuhi, selain terus bersama rakyat melakukan perubahan untuk mengembalikan Malaysia ke landasan terunggul sebagaimana sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) menerusi dasar pragmatik yang realistik untuk dicapai bersama.
Menurutnya, rakyat Malaysia layak menerima sebuah kerajaan yang stabil dan serius dalam usaha membela rakyat.
"Rakyat juga layak menikmati sistem percukaian yang lebih adil dan efisien, ekosistem kebajikan yang lebih teratur, Kabinet yang berpengalaman serta sistem penyampaian yang lebih tulus dan berkesan," katanya.
Beliau berkata, rakyat Malaysia juga wajar mengambil iktibar daripada pendirian Bangsa Johor dalam PRN Johor dan melangkah berani untuk bersama-sama mengembalikan negara ke landasan yang lebih baik.
Sempena Hari Kebangkitan 2026, Manndzri mengajak seluruh Bangsa Johor menzahirkan kesyukuran dengan penuh rendah hati serta menjadikan kemenangan itu sebagai bukti bahawa segala kejayaan berlaku dengan izin ALLAH SWT.
Beliau berkata, segala ikhtiar dan kesungguhan manusia hanyalah asbab, manakala hakikat kemenangan adalah atas ketentuan Tuhan.
Pada masa sama, beliau berkata, usaha islah akan terus dipertingkatkan dan muhasabah akan terus diperdalam, selain mengingatkan semua pihak agar tidak bersikap bongkak atau berbangga diri dengan kemenangan yang diperoleh.
"Teruskan kerja buat kita, ikhlaskan khidmat kerana ALLAH dan teruskan bakti kepada watan serta pertiwi. Bersama-sama kita memperbaik keadaan negara dan negeri serta melakukan perubahan melalui agenda 'Resetting Malaysia'," katanya.