SHAH ALAM - MCA memberi isyarat kebangkitan apabila kembali meraih kepercayaan pengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selepas berjaya memenangi lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Rekod itu secara langsung mengatasi pencapaian DAP yang hanya memperoleh enam kerusi.
Keputusan itu dianggap antara pencapaian terbaik MCA selepas parti berkenaan berdepan kemerosotan sokongan di kawasan majoriti pengundi Cina yang sebelum ini beralih kepada DAP.
Pencapaian paling signifikan ialah kejayaan MCA merampas semula DUN Tangkak, Jementah dan Johor Jaya, tiga kerusi tradisi parti itu yang pernah menjadi kubu kuatnya sebelum tumbang kepada DAP pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2013, 2018 dan 2022.
Selain itu, MCA turut berjaya mempertahankan empat kerusi yang dimenanginya pada 2022 iaitu Pekan Nanas, Yong Peng, Bekok dan Paloh.
Dalam masa sama, parti itu turut membantu Barisan Nasional (BN) mengekalkan DUN Layang-Layang apabila calon gabungan tersebut berjaya menewaskan pencabar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Usaha MCA memperkukuhkan semula jentera parti, memberi tumpuan kepada isu kos sara hidup, ekonomi dan kebajikan masyarakat setempat dipercayai membantu menarik kembali sokongan pengundi, khususnya di kawasan separa bandar dan luar bandar.
Sementara itu, DAP menyaksikan jumlah kerusinya berkurangan daripada 10 kepada enam selepas kehilangan tiga kerusi kepada MCA dan satu lagi kerusi Perling kepada MIC.
DAP bagaimanapun masih mengekalkan penguasaan di DUN Bentayan, Mengkibol, Stulang, Penggaram, Senai dan Skudai.
Keputusan PRN Johor kali ini dilihat memberi nafas baharu kepada MCA dalam BN, selain menjadi petunjuk bahawa parti itu masih mempunyai ruang untuk kembali memperkukuh pengaruhnya dalam kalangan pengundi Cina selepas melalui tempoh sukar sebelum ini.