KUALA TERENGGANU – Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menghantar isyarat politik jelas apabila kebangkitan semula Barisan Nasional (BN) dan kemerosotan sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP membentuk dimensi baharu dalam landskap politik negara.
Pemerhati politik menyifatkan keputusan tersebut sebagai referendum senyap pengundi, selain memberi gambaran jelas bahawa gabungan PH-DAP mampu ditewaskan sekiranya undi masyarakat Melayu tidak berpecah.
Menurut Ketua Penyelidik (Governans & Polisi) Yayasan Strategik Lestari, Dr Mukhtaruddin Musa, PRN Johor menjadi medan eksperimen awal yang menunjukkan formula terbaik untuk menyekat dominasi PH-DAP.
"PRN Johor mungkin menjadi eksperimen awal bahawa apabila undi Melayu tidak berpecah secara besar-besaran, PH-DAP boleh dikalahkan.
"Dalam beberapa kerusi, sokongan ahli dan penyokong Pas kepada calon BN menjadi faktor penting," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian di sini pada Ahad.
Tambah beliau, pendekatan Pas yang mengutamakan kelangsungan politik Melayu-Islam berbanding kepentingan parti memperlihatkan satu corak politik matang.
"Ahli Pas dilihat patuh kepada arahan pimpinan untuk menyokong calon BN demi menghalang kemenangan PH-DAP yang dilihat membawa faham Malaysian Malaysia, liberalisme, dan sosialisme.
"Berdasarkan keputusan rasmi, BN mencatatkan kemenangan besar dengan menguasai 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, manakala PH sekadar berpuas hati dengan lapan kerusi," ujarnya.
Jelas beliau lagi, trend pengundian menunjukkan sokongan pengundi Cina terhadap DAP tidak lagi sekukuh dahulu, dengan anggaran 10 hingga 15 peratus pengundi Cina kembali menyokong BN, khususnya MCA.
Pada masa sama, katanya, wujud sekitar 10 hingga 15 peratus kelompok protes yang memilih untuk tidak keluar mengundi, sekali gus meruntuhkan beberapa kubu kuat DAP.
"MCA berjaya menewaskan DAP di beberapa medan penting seperti DUN Jementah dan DUN Tangkak. MIC merampas DUN Bukit Batu yang sebelum ini dikuasai oleh PKR,"katanya lagi.
Dalam pada itu, Mukhtaruddin menjelaskan bahawa PKR kini berada dalam keadaan sukar apabila gagal mengekalkan daya tarikan di kawasan campuran dan bukan Melayu, dengan hanya memenangi satu kerusi di kawasan majoriti Melayu menyebabkan PH di Johor kini dilihat terlalu bergantung kepada DAP.
Bagi Perikatan Nasional (PN) pula, katanya, kegagalan mempertahankan tiga kerusi yang dimenangi Pas pada PRN 2022 iaitu di Maharani serta Bersatu di Bukit Kepong dan Endau menyerlahkan masalah dalaman jentera mereka.
"Kegagalan Bersatu juga membuktikan parti itu sukar bergerak secara berkesan di peringkat akar umbi tanpa sokongan jentera Pas yang tersusun," ujar beliau.
Mengulas lanjut, Mukhtaruddin berkata, keputusan PRN Johor kali ini wajib dibaca dengan cermat oleh semua parti politik yang bertanding.
"Kesimpulannya, PRN Johor menghantar mesej bahawa politik Melayu-Islam masih mempunyai daya susun yang kuat apabila bergerak dengan disiplin.
"DAP dan PH perlu menerima hakikat ini dengan jujur bahawa politik menakutkan pengundi tidak cukup untuk bertahan sekiranya rakyat mula menilai rekod, sikap, dan arah perjuangan dengan lebih kritikal," ujarnya.