KUALA LUMPUR – Bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menyifatkan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor membuktikan kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi diterima rakyat pelbagai kaum di negeri itu.
Menurut beliau, kemenangan tersebut juga didorong pendekatan kepimpinan UMNO yang mengutamakan perpaduan serta tidak bergantung kepada retorik politik atau penyebaran fakta yang mengelirukan.
Katanya, pemimpin UMNO sama ada yang baharu mahupun berpengalaman telah berjaya meyakinkan rakyat menerusi prestasi serta komitmen yang ditunjukkan.
“Dalam masa sama, keputusan pilihan raya menunjukkan Pakatan Harapan (PH) dan DAP tidak mendapat sokongan majoriti pengundi di Johor.
“Terdapat defisit keyakinan terhadap PH, manakala UMNO dan komponen BN pula berjaya memulihkan semula keyakinan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Syed Ali turut merakamkan ucapan tahniah kepada kepimpinan UMNO Johor, BN serta seluruh jentera parti yang disifatkannya bertungkus-lumus memastikan kemenangan pada PRN kali ini.
Beliau berkata, kemenangan itu perlu dimanfaatkan untuk mengembalikan semangat serta keyakinan rakyat terhadap UMNO di peringkat nasional.
“Gunakan kemenangan dan kegemilangan di Johor sebagai pemangkin untuk mengembalikan semangat dan keyakinan rakyat kepada UMNO secara keseluruhannya.
“Yang penting, jangan berbohong kepada rakyat, terutama dalam urusan politik kerana rakyat berhak membuat keputusan dan pilihan melalui saluran demokrasi,” katanya.
Pada PRN Johor, BN memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala lapan kerusi dimenangi PH.
Syed Ali turut berharap seluruh kepimpinan UMNO Johor terus berkhidmat dan menabur bakti kepada rakyat selepas memperoleh mandat tersebut.