Pelajar Politeknik Perlis tempuh perjalanan 12 jam untuk mengundi PRN Johor

Iklan
Aina Nazirah menunjukkan jari berdakwat selepas mengundi pada PRN Johor ke-16 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Tongkang pada Sabtu. Foto: Bernama

BATU PAHAT - Seorang Penuntut Politeknik Tuanku Syed Sirajudin di Arau, Perlis, Aina Nazirah Rahmat bertekad pulang ke Johor untuk mengundi buat kali pertama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, walaupun terpaksa menempuh perjalanan hampir 12 jam.

Penuntut jurusan Diploma Teknologi Maklumat berusia 21 tahun itu berkata, untuk pulang ke Johor dia terpaksa membeli tiket bas dari Arau ke Melaka selepas tiket bas dari Arau ke Batu Pahat telah habis.

Iklan
Iklan

Aina Nazirah tiba di kampung halamannya di Parit Sulong kira-kira 8 pagi tadi, sebelum terus ke pusat pengundian di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tongkang Pechah untuk memilih wakil rakyat bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani.

Walaupun penat kerana terpaksa menempuh perjalanan beratus kilometer untuk sampai ke Batu Pahat, dia berkata ia tidak sesekali melunturkan semangatnya untuk menunaikan tanggungjawab pada PRN Johor ke-16 itu.

Iklan

"Cabaran perjalanan pulang yang jauh dan hujan lebat di pusat mengundi tidak mematahkan semangat dan keterujaan saya untuk memilih calon pilihan yang saya harapkan boleh bekerja untuk rakyat.

"Saya lega apabila dapat menunaikan tanggungjawab ini...dan sebagai pengundi kali pertama, ia begitu bermakna dan keterujaan ini akan saya kenang sampai bila-bila,” katanya.

Iklan

PRN Johor yang berlangsung hari ini menyaksikan seramai 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN.