SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan keluarganya digesa berhenti mencari 'kad bebas penjara VIP' termasuk melalui peti undi, sebaliknya menyelesaikan baki kes mahkamah sekiranya mahu mendapatkan pelepasan secepat mungkin.
Projek Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA) berkata, Najib harus melakukan tiga perkara termasuk memastikan baki kes beliau iaitu 1MDB-Tanore, IPIC dan SRC2 diselesaikan sepenuhnya.
Menurutnya, kes berkenaan perlu diselesaikan sama ada melalui proses perbicaraan mahupun permohonan bagi pengakuan bersalah di bawah Seksyen 172C Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).
“Najib juga perlu mengaku bersalah dan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia kerana menyeleweng dana awam, bukannya mencemarkan sistem keadilan jenayah dan mendakwa diri sebagai mangsa penganiayaan politik.
“Beliau juga perlu bersara sepenuhnya daripada arena politik Malaysia,” kata Projek SAMA dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Projek SAMA menambah, ia susulan anak lelaki Najib yang juga Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Mohd Nazifuddin sebelum ini mengatakan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor memberi isyarat rakyat mahukan bapanya diberikan pengampunan.
Bagaimanapun, katanya, beberapa pemimpin UMNO kemudiannya menjelaskan bahawa keputusan pilihan raya tidak mempunyai kaitan langsung dengan proses pengampunan.
Dalam pada itu, gerakan itu mengingatkan tahap keseriusan jenayah kewangan dan kemudaratan jangka panjang dicetuskannya terhadap masa depan seluruh rakyat Malaysia termasuk generasi masa hadapan mestilah diambil kira apabila rayuan pengampunan Najib dibentangkan di hadapan ahli-ahli Lembaga Pengampunan dan Yang di-Pertuan Agong.
Tegasnya, rakyat Malaysia tidak boleh sama sekali dibiarkan dengan tanggapan bahawa wujudnya dua darjat warganegara berbeza iaitu golongan kayangan dan orang kebanyakan apabila undang-undang sama dikuatkuasakan.
Justeru, Projek SAMA berharap walau apa pun pertimbangannya, pengampunan sepatutnya menjadi instrumen sokongan untuk melengkapi keadilan dan bukannya mencabuli keadilan itu sendiri.
Gerakan terbabit memberitahu, tanpa mengira prosedur terlibat, pengampunan akan hilang keabsahannya dan meninggalkan persepsi amat buruk sekiranya ia meruntuhkan kedaulatan undang-undang serta menggugat kepercayaan orang awam terhadap sistem keadilan jenayah.
Projek SAMA turut menjelaskan, tindakan mengampunkan Najib tergolong sepenuhnya dalam kategori rekonsiliasi politik dan bukannya atas belas kasihan.
“Di peringkat antarabangsa, pengampunan bekas ketua kerajaan yang disabitkan dengan jenayah bukanlah perkara luar biasa.
“Oleh itu, Malaysia sewajarnya meneliti dengan mendalam bagaimana negara-negara lain mengendalikan pengampunan politik demi mencari jalan penyelesaian yang munasabah,” katanya.
Dalam pada itu, Projek SAMA menjadikan Korea Selatan sebagai perbandingan apabila negara berkenaan memegang rekod memenjarakan lima orang bekas presidennya termasuk atas tuduhan rasuah, pengkhianatan dan penderhakaan.
Dalam perkembangan sama, gerakan terbabit turut mempersoalkan implikasi sekiranya Najib diampunkan ketika baki kes mahkamahnya masih belum diselesaikan.
"Dari sudut pelaksanaan praktikal, sekiranya Najib mahu menggunakan haknya untuk memohon pengampunan sekarang, beliau mestilah mengemukakan pengakuan bersalah kepada pihak Pendakwaan bagi ketiga-tiga kes tersebut atas pertuduhan yang lebih ringan," ujarnya lagi.
Menurutnya, langkah itu bukan sahaja akan menjimatkan kos guaman beliau, tetapi juga mengelakkan pembaziran wang rakyat yang besar yang terpaksa dibelanjakan untuk mendakwa beliau.
“Sebaliknya, jika Najib percaya bahawa beliau tidak bersalah dalam kes-kes ini dan mahu menuntut pembebasan di mahkamah, beliau mestilah menunggu sehingga kesemua perbicaraan selesai sepenuhnya sebelum memfailkan sebarang rayuan pengampunan,” katanya.