SHAH ALAM – Campuran ganja sintetik dalam cecair rokok elektronik (vape) mengakibatkan kerosakan neuropsikologi dan halusinasi ekstrem.
Synthetic cannabinoid atau kanabis buatan ini dikesan digunakan melalui pengambilan cecair vape.
Ia bukanlah magic mushroom seperti yang didakwa, sebaliknya ialah ganja sintetik berdasarkan hasil kajian Jabatan Kimia terhadap sampel yang diserahkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Bagaimanapun, kanabis buatan boleh menjejaskan kesihatan mental serta meningkatkan risiko kecederaan fizikal akibat kehilangan daya pertimbangan. Ini kerana kesannya lebih drastik dan sukar dijangka memandangkan ia tergolong dalam kategori dadah halusinogen.
Penagihannya juga boleh menyebabkan pengguna bertindak di luar kawalan, seperti percaya mereka ada kuasa luar biasa atau mampu terbang.
Keadaan itu boleh mengundang kemalangan maut, termasuk terjun dari bangunan tinggi atau melintas jalan tanpa menyedari bahaya.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, trend semasa memperlihatkan ancaman yang lebih besar melalui penyalahgunaan bahan terlarang menerusi vape.
Menurutnya, berbanding kaedah tradisional, cecair yang mengandungi bahan terlarang dalam vape lebih berbahaya kerana dos bahan kimia sintetik yang tidak terkawal serta penyerapan wap yang sangat pantas terus ke otak sehingga menyebabkan kejutan kepada sistem saraf pusat.
“Dadah dalam cecair vape merupakan dadah sintetik daripada kelas kanabis buatan.
“Ia boleh menyebabkan individu yang mengambilnya mengalami psikosis, sawan, tingkah laku ganas, kekeliruan dan hilang kesedaran,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Beliau berkata, modus operandi terkini sindiket pengedaran dadah adalah dengan menyewa kondominium mewah sebagai stor simpanan dan pusat pembungkusan.
Katanya, unit kediaman itu yang mempunyai kawalan keselamatan ketat dipilih bagi mengaburi pihak berkuasa serta penduduk sebelum dijadikan stor transit atau lokasi pembungkusan semula dadah.
Selain itu, sindiket juga dikesan semakin kerap menggunakan warga asing sebagai koordinator atau 'keldai dadah' di dalam negara.
“Dalang utama dari luar negara dikesan kerap keluar masuk Malaysia menggunakan pas pelancong bagi memantau operasi sebelum bekalan diedarkan.
“AADK juga mengesan pembungkusan semula paket serbuk minuman yang mengandungi dadah, terutama jenis MDMA, ketamin dan ekstasi. Antara yang dikesan ialah perisa jus mangga, kopi 3 dalam 1, teh atau produk detoks yang popular di pasaran kelab malam atau parti persendirian,” katanya.
Ruslin berkata, sindiket antarabangsa itu juga dikesan menggunakan perkhidmatan syarikat pertukaran wang berlesen atau haram untuk mencuci wang hasil jualan dadah serta membiayai operasi penyeludupan.
Katanya lagi, satu trend yang amat membimbangkan ialah kemunculan cecair vape yang dicampur dengan dadah berbahaya seperti fentanyl (termasuk variannya seperti furanyl fentanyl atau dadah zombi).
“Penggunaan vape jenis ini tidak dijual secara terbuka, sebaliknya diedarkan dalam rangkaian tertutup.
“Penagih kini beralih daripada dadah tradisional seperti ganja kepada dadah sintetik buatan makmal.
“Dadah NPS (New Psychoactive Substances) atau bahan khayal baharu ini direka secara kimia untuk mendapatkan kesan dadah yang sama, namun mempunyai kesan ketagihan dan kerosakan mental yang jauh lebih cepat serta agresif,” ujarnya.
Kawalan lebih ketat
Menurut Ruslin, statistik klien yang terlibat dengan penyalahgunaan ganja sintetik dan sedang atau telah menerima rawatan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) dari tahun 2025 hingga Mac lalu ialah seramai 91 orang.
“Tahun 2025 merekodkan 30 klien, manakala tahun ini sehingga Mac mencatatkan 61 klien.
“Kes ini melibatkan PUSPEN (Sukarela) Karangan, Kedah; PUSPEN (Sukarela) Jerantut, Pahang; PUSPEN (Sukarela) Seri Iskandar, Perak; PUSPEN (Sukarela) Sungai Besi, Kuala Lumpur; PUSPEN (Sukarela) Papar, Sabah; dan PUSPEN (Sukarela) Kota Bharu, Kelantan,” ujarnya.
Ruslin berkata, kawalan yang lebih ketat perlu dilaksanakan oleh kerajaan terhadap kandungan cecair vape.
“Dalam aspek pencegahan, penggunaan vape perlu dihentikan sepenuhnya bagi mengelakkan masyarakat terdedah kepada bahaya dadah dan bahan khayal baharu.
“Setiap jenis dadah memberi kesan berbeza. Ganja menyebabkan gangguan kognitif, syabu merosakkan sistem saraf, inhalan memusnahkan sel otak, manakala ekstasi boleh mengakibatkan koma.
“Walaupun ganja sintetik tidak menyebabkan gejala fizikal yang teruk apabila penggunaannya dihentikan, ia tetap menjadi ancaman besar kerana boleh merampas kewarasan fikiran dan menyebabkan kecelaruan jiwa berpanjangan,” ujarnya.
Beliau berkata, cabaran menangani dadah sintetik kini semakin kompleks dengan trend penyalahgunaan vape, sekali gus mendorong Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) memperkukuh strategi menerusi tiga perkhidmatan teras yang lebih berfokus dan berasaskan pendekatan teknikal.
Menurutnya, usaha pencegahan bermula di sekolah melalui pendidikan yang bukan sahaja memberi pendedahan, malah membina keupayaan pelajar.
“Melalui penerapan kemahiran hidup dan daya tahan diri (resiliensi), pelajar dilatih meningkatkan kemahiran komunikasi, membuat keputusan serta berani berkata tidak kepada dadah.
“AADK turut menggalakkan gaya hidup bebas dadah menerusi penglibatan murid dalam aktiviti rekreasi dan khidmat komuniti melalui SKUAD Antidadah Junior sebagai ejen pencegahan di sekolah.
“Pada masa sama, AADK menegaskan benteng pertahanan paling awal dalam mencegah penyalahgunaan dadah bermula dari rumah,” katanya.