KUANTAN – Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES) Pahang dijangka dibuka kepada orang ramai dalam tempoh sebulan selepas melalui fasa ujian operasi bagi memastikan semua kemudahan berada dalam keadaan terbaik sebelum digunakan.
Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Rahimi Ismail berkata, ketika ini pihaknya sedang melaksanakan proses uji cuba terhadap setiap fasiliti di kompleks berkenaan.
Menurutnya, tempoh ujian itu penting bagi memastikan semua sistem dan kemudahan berfungsi dengan baik sebelum dibuka kepada orang ramai.
"Kita baru mendapat kebenaran selepas majlis perasmian dan dalam tempoh sebulan ini kita akan menguji setiap fasiliti supaya semuanya berada dalam keadaan teratur dan baik.
"Selepas itu, insya-ALLAH kita akan mengumumkan kadar sewaan dan membuka tempahan secara dalam talian menerusi portal KBS," katanya pada sidang akhbar selepas majlis perasmian KOMBES Pahang di sini pada Jumaat.
Majlis perasmian KOMBES Pahang disempurnakan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Baginda turut berangkat menyempurnakan Majlis Pengurniaan Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Pahang dan Anugerah Khas Belia Kerajaan Negeri Pahang 2026.
Hadir sama Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal.
Rahimi berkata, KOMBES Pahang dibina dengan peruntukan sebanyak RM30 juta yang disediakan KBS selepas proses pembinaannya mengambil masa lebih lama berikutan beberapa cabaran yang dihadapi kontraktor dalam tempoh pasca pandemik Covid-19.
Jelasnya, kompleks baharu itu diharap menjadi pusat pembangunan belia dan sukan yang dapat dimanfaatkan bukan sahaja oleh golongan belia, malah seluruh masyarakat di negeri ini.
"Kita berharap kemudahan ini digunakan sebaik-baiknya dan dari semasa ke semasa kementerian akan terus meningkatkan kemudahan yang ada di sini.
"Antara kemudahan disediakan ialah pejabat pentadbiran, dewan utama, gimnasium, gelanggang sukan, taman papan selaju, kemudahan panjat dinding serta pelbagai lagi fasiliti untuk kegunaan semua lapisan masyarakat," katanya
Rahimi turut memberitahu KBS mahu terus memperkukuh pembangunan belia dan sukan di Pahang menerusi kerjasama erat dengan kerajaan negeri, termasuk menaik taraf kemudahan sukan di lokasi lain.
Menurutnya, usaha itu juga dijangka memberi lonjakan kepada pembangunan sukan negeri menjelang temasya Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan datang.
"Kita yakin kerjasama antara KBS dan kerajaan negeri akan terus diperkukuhkan supaya pembangunan belia dan sukan di Pahang dapat berada pada tahap yang lebih tinggi," katanya.
Sementara itu, Fadzli Mohamad berkata, KOMBES Pahang menjadi satu kemudahan yang amat diperlukan golongan belia susulan cabaran semasa yang semakin kompleks.
Justeru katanya, kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian terhadap usaha melahirkan anak muda dan belia berkualiti bagi menghadapi pelbagai cabaran masa kini.
"KOMBES yang dirasmikan hari ini sememangnya dinantikan oleh anak muda dan belia di negeri ini
"Dengan kemudahan yang lebih baik dan persekitaran yang kondusif, kompleks ini diyakini menjadi medan untuk generasi muda membina disiplin, mengasah bakat serta merealisasikan impian mereka.
"Terima kasih kepada KBS atas sokongan dan peruntukan untuk pembinaan kompleks ini," ujarnya.
Dalam pada itu, Fadzli berkata, KBS turut meluluskan peruntukan lebih RM7 juta bagi menaik taraf beberapa fasiliti di Stadium Darul Makmur, termasuk lampu limpah, tempat duduk serta kerja pendawaian kalis air.
Selain itu, beliau berkata, KBS turut meluluskan peruntukan RM500,000 bagi kerja baik pulih litar drag motor di Pekan yang dinantikan golongan muda.
"Ini melambangkan sinergi antara KBS dan kerajaan negeri cukup penting untuk memastikan belia dan anak muda di Pahang mendapat pembelaan sewajarnya.
"Kita akan terus bekerjasama rapat selepas ini dan saya sendiri akan mengadakan perbincangan berkala bersama KBS termasuk KOMBES untuk membincangkan soal belia di negeri ini," katanya.