RANTAU PANJANG – Cubaan kali pertama seorang lelaki menyeludup 700 kilogram (kg) durian dari Thailand tidak berjaya selepas dicekup Pasukan Gerakan Am (PGA) di pangkalan haram Abe Li Posmen di sini pada Khamis.
Suspek berusia 22 tahun itu mendakwa baharu pertama kali ke lokasi berkenaan dengan hanya berpandukan aplikasi Waze selepas diarahkan majikannya mengambil durian yang telah menunggu di tebing sungai sebelum dibawa ke Pasir Puteh.
Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota Strike Force Kompeni B Batalion 9 PGA Kuala Terengganu yang menjalankan rondaan kira-kira jam 7.15 malam mengesan sebuah Mitsubishi Triton dalam keadaan mencurigakan di kawasan pengkalan haram berkenaan.
Menurut beliau, pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan 700 kg durian di bahagian tempat duduk belakang dan ruang muatan, namun pemandunya gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berkaitan buah-buahan tersebut.
"Suspek ditahan dan kenderaan bersama muatan durian dirampas sebelum diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kelantan untuk tindakan lanjut.
"Nilai keseluruhan rampasan termasuk sebuah Mitsubishi Triton dianggarkan RM53,500," katanya kepada pemberita pada Jumaat.
Ujar beliau, siasatan awal mendapati durian berkenaan telah ditempah oleh seorang individu dikenali sebagai 'Kak Ya', manakala suspek hanya diupah mengambil buah yang telah berada di tebing sungai sebelum menghantarnya ke lokasi jualan di Pasir Puteh.
Tambahnya, suspek turut memaklumkan dia bekerja secara sambilan dengan menerima upah antara RM60 hingga RM70 bergantung kepada hasil jualan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976, manakala pemeriksaan dan pemantauan di pengkalan haram akan terus dipertingkat bagi mengekang kegiatan penyeludupan serta jenayah rentas sempadan," katanya.