Pengundi muda utamakan calon buat kerja berbanding parti - Ilham Centre

Iklan
Perubahan corak sokongan dalam kalangan pengundi muda berlaku dengan pantas dan sukar diramalkan hingga hari pengundian. - Gambar hiasan

SHAH ALAM – Calon yang mempunyai rekod kerja baik, mudah ditemui dan aktif sepanjang tempoh menjadi wakil rakyat memperoleh tahap kepercayaan lebih tinggi dalam kalangan pengundi muda.

ILHAM Centre dalam kenyataan memaklumkan, dapatan kajian lapangannya menunjukkan pengundi muda kini semakin mengutamakan kekuatan individu calon berbanding jenama parti politik.

Iklan
Iklan

"Walaupun sebahagian besar daripada mereka tidak mempunyai kesedaran politik yang mendalam, keinginan untuk keluar mengundi adalah tinggi kerana melihat proses mengundi sebagai tanggungjawab sivik.

"Namun, mereka masih belum membentuk kesetiaan yang kukuh kepada mana-mana parti politik," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Menurut ILHAM Centre, satu lagi ciri ketara dalam kalangan pengundi muda ialah mereka tergolong sebagai late decider iaitu hanya memuktamadkan pilihan pada penghujung tempoh kempen.

Jelasnya, keputusan itu lazimnya dibuat selepas mereka menilai calon, mengikuti perkembangan di media sosial serta berbincang dengan rakan sebaya.

Iklan

"Corak ini menyebabkan perubahan sokongan dalam kalangan pengundi muda berlaku dengan pantas dan sukar diramalkan hingga hari pengundian.

"Berbeza dengan generasi terdahulu, pengaruh tradisi keluarga semakin berkurangan manakala identiti parti bukan lagi faktor dominan dalam menentukan pilihan," menurut kenyataan itu.

ILHAM Centre berkata, pengundi muda kini lebih menilai keupayaan calon berkomunikasi, rekod perkhidmatan, keterlihatan di kawasan dan media sosial serta kesungguhan menyelesaikan isu setempat.

Sehubungan itu, penyandang yang mempunyai rekod prestasi cemerlang dilihat memiliki kelebihan kerana prestasi kerja menjadi modal politik yang lebih bernilai berbanding jenama parti semata-mata.

Menurut kenyataan itu lagi, calon baharu pula berdepan cabaran lebih besar untuk memperkenalkan keupayaan diri berikutan tempoh kempen yang singkat.

"Ramai calon baharu masih bergelut membina pengenalan, kredibiliti dan keyakinan pengundi.

"Dalam pertandingan yang semakin candidate centric, kekuatan individu calon menjadi penentu utama, khususnya di kerusi marginal yang mempunyai komposisi pengundi muda yang tinggi," katanya.