Tuntutan kos LPT2: Terengganu kecewa dinafikan hak

Iklan
Ahmad Samsuri

​KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu kecewa dengan keputusan Kerajaan Persekutuan yang dilihat menafikan hak negeri itu untuk menuntut semula sebahagian kos pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) berjumlah RM1.43 bilion.

​Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya melihat hanya ada satu jalan bagi membolehkan kerajaan negeri memperoleh semula hak-hak yang telah dinafikan itu.

Iklan
Iklan

​"Wartawan ada bertanya saya, komen mengenai keputusan Kerajaan Persekutuan yang menafikan Terengganu untuk menuntut sebahagian kos LPT2.

​"Jawapan saya, sudah tentu Terengganu kecewa. Nampaknya ada satu cara sahaja untuk kami peroleh semula hak-hak kami yang dinafikan.

Iklan

​"Ini kali, tanpa perlu bahas berjela-jela, satu cara sahaja iaitu kita ubah kerajaan di peringkat Persekutuan dalam PRU16 (Pilihan Raya Umum Ke-16) nanti," katanya menerusi kenyataan di laman sosialnya pada Jumaat.

​Kenyataan Ahmad Samsuri itu dibuat bagi mengulas maklum balas Kementerian Kewangan (MOF) menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen baru-baru ini.

Iklan

​MOF menegaskan bahawa isu pembayaran balik tuntutan kos pembinaan LPT2 berjumlah RM1.43 bilion kepada kerajaan negeri Terengganu adalah tidak berbangkit kerana pembiayaan tersebut telah dibuat mengikut persetujuan bersama kedua-dua pihak sebelum ini.

​Menurut kementerian itu, pembiayaan sebahagian kos pembinaan lebuh raya berkenaan dibuat menerusi Akaun Amanah Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) berdasarkan persetujuan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Terengganu, selain perkara itu telah dimaklumkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Akaun Amanah DKKP.

​Jelas MOF, penggunaan dana berkenaan juga adalah selaras dengan Arahan Amanah Akaun Amanah DKKP yang menetapkan peruntukan hanya digunakan bagi membiayai program, projek dan aktiviti yang memberi manfaat kepada rakyat di negeri terbabit sebagaimana diluluskan Jawatankuasa Akaun Amanah.

​"Arahan Amanah itu juga tidak mempunyai sebarang peruntukan berhubung pembayaran balik kepada mana-mana kerajaan negeri sekiranya sesuatu projek dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan atau agensi-agensi Persekutuan menggunakan peruntukan daripada Akaun Amanah DKKP.

​"Sehubungan itu, isu tuntutan bayaran balik kos pembinaan LPT2 berjumlah RM1.43 bilion kepada kerajaan negeri Terengganu adalah tidak berbangkit," katanya.

​​Jawapan bertulis MOF itu adalah bagi menjawab soalan daripada Shaharizukirnain Abdul Kadir (PN-Setiu) yang meminta penjelasan mengenai mekanisme penyelesaian bagi tuntutan bayaran balik kos pembinaan LPT2 berjumlah RM1.43 bilion kepada kerajaan negeri Terengganu, susulan beberapa siri rundingan rasmi yang telah diadakan oleh kerajaan negeri sebelum ini.

​MOF menambah, pembiayaan sebahagian LPT2 berkenaan sebenarnya selaras dengan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk memastikan dana DKKP yang berkaitan dengan Terengganu digunakan sepenuhnya demi manfaat negeri dan penduduk di sana.

​Bagaimanapun, kementerian itu menyatakan bahawa pihak kerajaan sentiasa kekal terbuka untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan kerajaan negeri Terengganu berhubung sebarang cadangan bagi melaksanakan program atau projek baharu yang boleh dibiayai menerusi Akaun Amanah DKKP pada masa hadapan.