Dibuli, dibaling ais punca pelajar Tingkatan Satu kejar tiga rakan dengan pisau - Polis

Iklan
Gambar hiasan.

ALOR GAJAH – Tindakan seorang pelajar Tingkatan 1 mengejar tiga rakannya sambil membawa pisau pemotong kertas dipercayai berpunca selepas dia beberapa kali dibaling ais.

Kejadian berlaku kira-kira jam 2.50 petang Khamis ketika program sedang berlangsung di dewan terbuka sebuah sekolah menengah di sini.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 13 tahun dipercayai bertindak demikian selepas menjadi sasaran balingan ais berulang kali.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati dua pelajar lelaki berusia 13 dan 14 tahun membaling ais ke arah suspek beberapa kali sebelum insiden berkenaan berlaku.

Iklan

“Suspek kemudian mengeluarkan pisau berkenaan daripada bekas pensilnya sebelum mengejar salah seorang mangsa sejauh kira-kira 50 meter sehingga ke kawasan surau sekolah,” katanya pada Jumaat.

Beliau berkata, kejadian itu turut menyebabkan dua lagi pelajar lain yang berada bersama mangsa melarikan diri kerana bimbang dicederakan.

Iklan

Bagaimanapun, situasi cemas itu berjaya dikawal selepas seorang guru berjaya memujuk suspek supaya melepaskan pisau.

Ahmad berkata, tiada sebarang kecederaan dilaporkan susulan insiden itu sama ada membabitkan pelajar terlibat atau guru.

“Keluarga suspek telah dipanggil ke sekolah untuk membawa pelajar itu pulang.

"Suspek dilaporkan menerima rawatan di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Melaka dengan sesi rawatan terakhir direkodkan pada 3 Jun lalu.

“Siasatan turut mendapati semua pelajar terlibat mempunyai rekod salah laku disiplin sejak awal tahun ini,” katanya.