Pelajar Tingkatan 6 meninggal dunia selepas rebah di sekolah

Iklan
Mangsa selepas rebah ketika sedang berbaris bersama rakan sekelas untuk menghadiri orientasi kokurikulum di sebuah sekolah menengah pada Rabu. Gambar hiasan

MELAKA - Seorang pelajar lelaki Tingkatan Enam meninggal dunia selepas rebah ketika sedang berbaris bersama rakan sekelas untuk menghadiri orientasi kokurikulum di sebuah sekolah menengah di Jalan Chan Koon Cheng di sini pada Rabu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintenden Halim Abas berkata, mangsa berusia 18 tahun dibawa ke Hospital Melaka dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas kejadian kira-kira jam 2.40 petang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mangsa diberikan bantuan pernafasan (CPR) selama kira-kira 68 minit namun disahkan meninggal dunia pada jam 7.11 malam.

“Siasatan awal mendapati mangsa sedang berbaris di koridor kelas bersama rakan-rakan bagi menghadiri orientasi kokurikulum sebelum tiba-tiba rebah dan berada dalam keadaan lemah.

Iklan

Beliau berkata, hasil temu bual dengan ibu mangsa mendapati pelajar terbabit tidak mempunyai sejarah menerima rawatan bagi sebarang penyakit atau pernah mengadu tidak sihat sebelum kejadian.

Katanya, mangsa yang merupakan anak sulung daripada dua beradik itu baru tiga minggu melanjutkan pengajian di Tingkatan Enam di sekolah berkenaan serta aktif dalam sukan.

Iklan

“Hasil bedah siasat yang dijalankan pada Khamis mendapati punca kematian disahkan akibat Coronary Artery Anomalies (keabnormalan saluran arteri koronari).

“Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan tiada unsur jenayah dikesan,” katanya.