JOHOR BAHRU - Pengundi Cina dijangka menjadi antara penentu keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor apabila kadar keluar mengundi (VTO) yang rendah dalam kalangan mereka berpotensi memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN).
Penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, pengundi Cina merupakan kelompok yang pragmatik dan tidak terlalu terikat kepada mana-mana parti politik, sebaliknya membuat pertimbangan berdasarkan kepentingan ekonomi dan perniagaan.
Menurutnya, sikap tersebut menyebabkan sebahagian pengundi Cina akan menilai semula keperluan untuk keluar mengundi kerana banyak dasar utama masih ditentukan oleh Kerajaan Persekutuan.
"Pengundi Cina akan menjadi indikator kepada keputusan ataupun kadar keluar mengundi dalam PRN Johor kali ini.
"Mereka akan berkira kenapa perlu keluar mengundi dua kali. Bagi mereka, kerajaan negeri boleh memperkenalkan dasar tertentu tetapi bukan sepenuhnya kerana masih bergantung kepada bidang kuasa Kerajaan Persekutuan," katanya ketika program Interviu sempena PRN Johor di sini pada Khamis.
Beliau berkata, majoriti masyarakat Cina bergantung kepada aktiviti ekonomi dan perniagaan sebagai sumber pendapatan, sekali gus menjadikan mereka lebih cenderung menyokong mana-mana parti yang mampu menawarkan persekitaran ekonomi yang kondusif.
"Mana-mana parti politik yang menawarkan situasi ekonomi yang selesa dan menjaga perniagaan mereka akan lebih cenderung mendapat sokongan.
"Apabila mereka beralih daripada MCA kepada DAP sebelum ini, tidak mustahil mereka juga boleh bergerak semula kepada MCA kerana politik ini dinamik dan bergantung kepada faktor semasa," katanya.
Tambah beliau, hasil cerapan bersama kumpulannya dari Segamat hingga Johor Bahru mendapati terdapat dua kelompok utama pengundi Cina pada PRN Johor kali ini, iaitu mereka yang memilih untuk tidak keluar mengundi dan mereka yang kekal menyokong Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun, katanya, beberapa isu semasa seperti e-invois dan pengumuman pengecualian cukai kepada Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) turut berpotensi mempengaruhi perubahan sokongan pengundi.
"Mana-mana parti politik akan berusaha mendapatkan walaupun hanya satu undi yang beralih daripada parti lawan kerana dalam sistem 'first-past-the-post', lebih satu undi pun di sesetengah kawasan sudah cukup untuk memenangkan seseorang calon," katanya.