SPRM sahkan siasatan terhadap Jho Low masih diteruskan

Iklan
Abdul Halim Aman (kiri) dan Jho Low.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan siasatan terhadap ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, masih diteruskan dan tidak pernah ditutup.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Abdul Halim Aman berkata, pihaknya bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut mengenai laporan yang mendakwa Jho Low akan pulang ke Malaysia bagi mengadakan rundingan dengan kerajaan.

Iklan
Iklan

"Siasatan terhadap Jho Low itu masih 'on', tak pernah ditutup. Itu sahajalah respons daripada saya. Masih lagi dibuka," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat SPRM di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan yang mendakwa Jho Low akan memasuki Malaysia untuk berunding dengan kerajaan, serta sama ada SPRM masih meneruskan siasatan terhadap individu berkenaan.

Iklan

Sebelum ini, sebuah portal berita antarabangsa mendakwa ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low, memasuki Malaysia bersama delegasi dari China pada penghujung tahun lalu bagi mengadakan rundingan berhubung penyelesaian pembayaran balik dana berkaitan skandal 1MDB. Dakwaan itu turut dilaporkan oleh The Wall Street Journal.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong, menafikan dakwaan tersebut di Dewan Rakyat dan menegaskan Jho Low tidak memasuki Malaysia untuk tujuan berkenaan.

Iklan

Jho Low berdepan pelbagai pertuduhan, termasuk rasuah dan pengubahan wang haram di Amerika Syarikat dan Malaysia, atas dakwaan peranannya dalam penyelewengan sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion (RM18.3 bilion) daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun, beliau secara konsisten menafikan sebarang salah laku.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijatuhi hukuman penjara 15 tahun serta denda RM13.4 bilion selepas didapati bersalah atas semua pertuduhan membabitkan satu tuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion pada 26 Disember tahun lalu.

Najib berdepan tambahan hukuman penjara 40 tahun sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.