Ringgit meningkat berbanding dolar AS

Iklan
Dolar AS lemah, sekali gus memberi ruang kepada mata wang Asia termasuk ringgit untuk mengukuh hari ini

RINGGIT dibuka lebih tinggi berbanding dolar AS pada Khamis berikutan dolar AS menyusut selepas minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) dikeluarkan.

Pada 8 pagi, unit tempatan mengukuh kepada 4.0730/0800 berbanding dolar AS daripada 4.0750/0800 semasa ditutup pada Rabu.

Iklan
Iklan

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) menyusut sedikit selepas minit mesyuarat FOMC dikeluarkan, yang menunjukkan pegawai Rizab Persekutuan (Fed) masih bebeza pandangan mengenai hala tuju kadar faedah pada masa depan.

"Minit mesyuarat itu jelas menunjukkan wujud perbezaan pandangan yang lebih ketara dalam kalangan pegawai Fed mengenai hala tuju kadar faedah pada masa depan, dengan perbincangan tertumpu sama ada untuk mengekalkan kadar faedah tanpa perubahan atau menaikkannya.

Iklan

"Fed tidak lagi mempertimbangkan kemungkinan untuk menurunkan kadar faedah. Sebaliknya, kalangan pegawainya sedang membincangkan sama ada kadar semasa perlu dikekalkan atau dinaikkan, sekali gus mencerminkan tumpuan mereka yang berterusan terhadap usaha mengekang inflasi," katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata, beberapa pegawai Fed berpandangan bahawa kadar dana persekutuan semasa iaitu 3.50 peratus hingga 3.75 peratus telah berada pada paras yang ketat atau terbatas.

Iklan

"Sehubungan itu, dolar AS lemah, sekali gus memberi ruang kepada mata wang Asia termasuk ringgit untuk mengukuh hari ini," katanya.

Beliau berkata, pelabur juga akan memberi tumpuan kepada keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) yang dijadual diumumkan hari ini, dengan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka dikekalkan pada 2.75 peratus.

"Apa yang lebih penting, pasaran akan menunggu penilaian terkini BNM mengenai ekonomi dalam persekitaran ketidaktentuan yang semakin meningkat di Asia Barat," katanya.

Pada pembukaan dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan rendah berbanding pound Britain kepada 5.4554/4648 daripada 5.4369/4435 semasa ditutup pada Rabu dan susut berbanding euro kepada 4.6518/6598 daripada 4.6471/6528, namun mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5058/5103 daripada 2.5083/5114.

Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang serantau.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1486/1542 daripada 3.1487/1528 semasa ditutup pada Rabu dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 226.1/226.5 daripada 226.2/226.5.

Bagaimanapun, ringgit menyusut berbanding baht Thailand kepada 12.1691/1959 daripada 12.1685/1882.

Ringgit tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.62/6.64.- Bernama