Insiden tikaman di sekolah 'wake up call' untuk semua

Iklan
Insiden ini tidak boleh dilihat dari sudut jenayah semata-mata memandangkan suspek autisme yang sedang menjalani rawatan kesihatan, selain turut tular dakwaan dirinya pernah menjadi mangsa buli.

INSIDEN pelajar perempuan berusia 15 tahun disyaki menikam rakannya di sebuah sekolah di Banting, Selangor sekali lagi mencetuskan kebimbangan aspek keselamatan di sekolah.

Lebih membimbangkan, kejadian berlaku tidak lama selepas kes tikaman yang meragut nyawa seorang pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Utama Damansara (4) pada tahun lalu.

Iklan
Iklan

Walaupun kes di Banting tidak melibatkan kematian, namun kecederaan dialami mangsa menunjukkan ancaman keganasan dalam institusi pendidikan bukan lagi kes terpencil.

Sebaliknya, ia isyarat sekolah kini berdepan cabaran baharu yang memerlukan pendekatan lebih menyeluruh daripada semua pihak termasuk menilai semula prosedur operasi standard (SOP) keselamatan.

Iklan

Persoalan timbul ialah sama ada prosedur kawalan keluar masuk pelawat dilaksanakan secara konsisten atau terdapat ruang kelemahan yang perlu diperbaiki segera.

Justeru, pendekatan diambil tidak seharusnya hanya tertumpu kepada aspek penguatkuasaan undang-undang, sebaliknya perlu melihat faktor-faktor yang mungkin menjadi pencetus kepada sesuatu insiden.

Iklan

Insiden ini juga seharusnya membuka ruang perbincangan lebih meluas mengenai kesejahteraan emosi dan kesihatan mental golongan remaja.

Peranan guru bimbingan dan kaunseling perlu diperkasakan agar mereka mempunyai ruang, masa serta sokongan mencukupi untuk mengesan lebih awal perubahan tingkah laku pelajar.

Program intervensi awal juga perlu diperkasakan supaya sebarang masalah dapat ditangani sebelum menjadi lebih serius.

Komunikasi yang baik antara ibu bapa dan anak-anak menjadi benteng utama dalam mengesan perubahan sikap, tekanan atau masalah yang mungkin sedang dihadapi.

Anak-anak perlu diberikan ruang untuk berkongsi perasaan tanpa rasa takut dihukum atau dipandang serong.

Kepada ibu bapa, pantaulah anak-anak sebaiknya dan jangan sesekali membiarkan mereka bebas menggunakan media sosial tanpa batas.

Pihak sekolah juga perlu menilai semula tahap kesiapsiagaan menghadapi situasi kecemasan termasuk latihan berkala kepada guru dan kakitangan, mekanisme pelaporan yang lebih berkesan serta kerjasama rapat dengan polis dan agensi berkaitan.

Kini juga bukan masa untuk mana-mana pihak saling menyalahkan, sebaliknya inilah ruang untuk membaiki setiap kelemahan demi kebaikan bersama.

Sebaliknya, ia memerlukan kerjasama bersepadu antara sekolah, ibu bapa, pihak berkuasa dan masyarakat dalam membina persekitaran yang benar-benar selamat, inklusif serta menyokong kesejahteraan mental remaja.

Lebih penting, fokus harus diberikan kepada usaha memperkukuhkan sistem pencegahan agar insiden seumpama ini tidak terus berulang pada masa akan datang.

Sekolah perlu kekal tempat yang melahirkan ilmu, sahsiah dan harapan, bukannya menjadi lokasi tercetusnya tragedi yang meninggalkan trauma.

Apa yang berlaku hari ini wajar dijadikan titik perubahan untuk semua pihak memperkukuhkan budaya saling mengambil berat, saling melindungi dan bertindak lebih awal sebelum sesuatu masalah bertukar menjadi tragedi yang tidak mampu diputar kembali.

* Nurul Huda Husain ialah wartawan Sinar Harian