Kilang e-waste digempur, rampasan cecah RM2.5 juta

Iklan
Sebuah kilang e-waste di Telok Panglima Garang, Kuala Langat diserbu pada Selasa. Foto PPM

KUALA LANGAT – Sisa elektronik (e-waste) dan peralatan pemprosesan dianggarkan bernilai RM2.57 juta dirampas dalam serbuan di sebuah kilang di Telok Panglima Garang di sini pada Selasa.

Tindakan diambil menerusi Op Taring Landai yang digerakkan Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Majlis Perbandaran Kuala Langat.

Iklan
Iklan

Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Jaffri Bidin berkata, dalam operasi kira-kira jam 10.30 pagi itu, seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun yang mengaku sebagai penjaga kilang ditahan.

Menurutnya, 14 pekerja warga asing berusia antara 23 hingga 53 tahun yang berada di dalam kilang berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan.

Iklan

"Pasukan operasi turut menemukan pelbagai barangan elektronik terpakai, kabel tembaga, bateri, komponen lif, mesin mampatan dan sisa buangan berjadual yang disyaki diproses secara tidak sah.

"Hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan dipercayai menjalankan aktiviti penyimpanan dan pemprosesan sisa elektronik tanpa dokumen serta permit yang sah,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Antara rampasan e-waste di sebuah kilang di Telok Panglima Garang, Kuala Langat pada Selasa. Foto PPM

Beliau berkata, kegiatan pemprosesan e-waste secara haram bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh memberi kesan buruk terhadap alam sekitar dan kesihatan awam jika tidak dikawal.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya terus bekerjasama dengan pihak polis dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti pemprosesan e-waste atau kegiatan lain yang menyalahi undang-undang bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 18, Seksyen 19 dan Seksyen 34 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Seksyen 6 (1)(c)Akta Imigresen 1959/63 dan Undang-Undang Kecil 3 Perlesenan Trade Perniagaan dan Perindustrian Majlis Perbandaran Kuala Langat.