Pesanan tutup televisyen jadi kata-kata terakhir buat abang

Iklan
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim (kanan) bertanya sesuatu kepada Lomba selepas rumahnya di Taman Seri Mahkota Jaya terbakar pada pagi Rabu.

KUANTAN - Pesanan supaya menutup televisyen sekiranya sudah panas atau mengantuk menjadi kata-kata terakhir seorang adik kepada abangnya sebelum lelaki orang kurang upaya (OKU) itu ditemukan maut dalam kebakaran rumah di Taman Sri Mahkota Jaya di sini pagi Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa, G Vilthaliggam, 67, ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di ruang tamu rumah oleh pasukan bomba sebelum disahkan meninggal dunia.

Iklan
Iklan

Adik mangsa, G Lomba, 64, berkata, abangnya yang tidak pernah berkahwin biasanya  menghabiskan masa menonton televisyen di atas katil yang diletakkan di ruang tamu, selain bergerak menggunakan alat sokongan berjalan.

"Dia duduk atas katil menonton televisyen macam biasa. Saya sempat berpesan supaya dia menutup televisyen jika sudah panas atau sekiranya mengantuk," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Rabu.

Iklan

Lomba menunjukkan kad OKU milik abangnya.

Lomba berkata, ketika kejadian, dia bersama suami keluar mendapatkan rawatan selepas mengalami kecederaan akibat terjatuh di tempat kerja.

Iklan

"Saya pergi ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan dirujuk ke sebuah hospital lain sebelum seorang jiran menelefon memaklumkan mengenai kebakaran tersebut.

"Saya dan suami bergegas pulang, namun dimaklumkan bahawa abang telah meninggal dunia di dalam rumah dipercayai akibat asap tebal. Dia ditemui dalam keadaan duduk di atas katilnya di ruang tamu," katanya.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat turut mendengar luahan daripada Lomba susulan kejadian itu.

Anak keenam daripada sembilan beradik itu berkata, abangnya tinggal bersamanya selepas kedua-dua belah kakinya dipotong akibat komplikasi penyakit kencing manis dua tahun lalu.

Katanya, kaki kiri mangsa dipotong hingga ke paras paha, manakala kaki kanan dipotong di bawah lutut.

"Walaupun bergelar OKU, abang masih mampu menguruskan diri sendiri termasuk mandi, makan dan bergerak menggunakan tongkat," katanya.

Dalam pada itu, Lomba berkata, kebakaran dipercayai melibatkan bahagian hadapan rumah termasuk ruang tamu, namun jumlah kerugian masih belum dapat dipastikan kerana belum berpeluang memasuki kediaman itu.

"Saya belum masuk lagi tengok macam mana," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Sangka rumah kosong, terkejut ada mangsa

OKU maut dalam kebakaran, ditemukan terduduk atas katil