Jangan ulang kegagalan Dasar Telematik 2016 - Penganalisis

Iklan
Pelancaran Inisiatif Telematik bagi Kenderaan Perdagangan merupakan langkah baharu kerajaan dalam memperkukuhkan pemantauan keselamatan operasi kenderaan perdagangan melalui penggunaan teknologi, data dan analisis tingkah lagu pemandu secara sistematik. Foto fail Bernama

PUTRAJAYA – Pelaksanaan sistem telematik secara mandatori bagi kenderaan perdagangan bermula 2028 tidak boleh mengulangi kegagalan dasar sama sedekad lalu apabila cadangan mewajibkan penggunaan teknologi itu akhirnya ditarik balik susulan tekanan daripada pihak industri.

Pengamal Advokasi Keselamatan Jalan Raya dan Pengangkutan Lestari, Shahrim Tamrin berkata, tempoh peralihan sehingga 2028 perlu dimanfaatkan sebagai fasa persediaan yang tegas dan bukannya menjadi ruang untuk pihak berkepentingan melobi sehingga pelaksanaan mandatori sekali lagi ditangguhkan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Malaysia sebenarnya pernah melalui proses sama pada 2016 apabila Kumpulan Wang Insurans Motor Malaysia (MMIP) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) ketika itu berusaha mewajibkan sistem telematik bagi pengendali pengangkutan berisiko tinggi.

"Ketika itu pihak industri membantah kos perkakasan pendahuluan sebanyak RM3,400 dan melakukan lobi secara agresif sehingga dalam tempoh dua bulan, status 'wajib' bertukar secara senyap menjadi sukarela.

Iklan

"Kadar penggunaan akhirnya tidak pernah melonjak, manakala data keselamatan yang sepatutnya dapat dimanfaatkan sepanjang sedekad berikutnya hilang begitu sahaja ketika nahas jalan raya maut terus berlaku," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, pengumuman Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk melaksanakan sistem telematik secara berfasa dari 2026 hingga 2028 menerusi model langganan bulanan antara RM60 hingga RM300 merupakan langkah yang dialu-alukan kerana berjaya menghapuskan alasan kos perkakasan yang pernah dibangkitkan sebelum ini.

Iklan

Bagaimanapun, katanya, apabila isu kos bukan lagi menjadi halangan, timbul persoalan mengapa tempoh pelaksanaan secara sukarela masih perlu diteruskan selama dua tahun.

"Tempoh 2026 hingga 2027 perlu dilihat sebagai fasa peralihan yang benar-benar tegas, bukannya laluan lembut yang membolehkan pihak industri melobi untuk melepaskan diri menjelang 2028 seperti yang berlaku pada 2016," jelas beliau.

Mengulas lanjut, Shahrim berkata, pelaksanaan telematik tidak akan memberi impak besar terhadap keselamatan jalan raya sekiranya hanya tertumpu kepada pemasangan peranti tanpa disusuli latihan kepada pemandu dan tindakan penguatkuasaan berdasarkan data yang dikumpulkan.

Katanya, kajian lapangan oleh Federal Motor Carrier Safety Administration (FMCSA) dan Oak Ridge National Laboratory di Amerika Syarikat pada 2014 mendapati insiden pemanduan tidak selamat menurun hampir 50 peratus apabila pemandu menerima maklum balas berstruktur serta latihan selepas dipantau menggunakan sistem telematik.

Selain itu, laporan industri SambaSafety pada 2024 turut menunjukkan 72 peratus armada kenderaan merekodkan pengurangan nahas jalan raya dan tuntutan insurans apabila teknologi telematik digabungkan dengan latihan kepada pemandu.

Sehubungan itu, beliau menggesa MOT memperkukuhkan beberapa aspek sepanjang tempoh peralihan termasuk menyediakan insentif kewangan yang lebih bermakna kepada pengendali, menawarkan pelepasan fiskal kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), selain memastikan data telematik dimanfaatkan secara langsung oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bagi tujuan penguatkuasaan.

Pada masa sama, Shahrim turut mencadangkan kementerian mengamalkan ketelusan dengan mengiktiraf syarikat pengangkutan yang mengekalkan rekod keselamatan cemerlang, di samping berani mendedahkan pengendali yang mempunyai rekod pemanduan berbahaya serta waktu kerja melampau.

Beliau berkata, sistem telematik juga perlu dibangunkan secara saling beroperasi antara semua pembekal perkhidmatan yang diiktiraf bagi memastikan integrasi data dapat dilaksanakan secara berkesan.

Menurutnya, sekiranya dilaksanakan dengan baik, sistem telematik bukan sekadar menjadi alat pemantauan, malah mampu menangani isu pemandu yang membawa rekod saman tertunggak dan kesalahan lampau ketika berpindah antara syarikat pengangkutan tanpa dikesan.

"Ia juga mampu memberi 'taring' sebenar kepada sistem mata demerit Kejara dengan mengubahnya daripada sekadar sistem di atas kertas kepada mekanisme penguatkuasaan yang aktif, dinamik dan berfungsi.

"Kejayaan pelaksanaan ini tidak boleh diukur melalui jumlah peranti yang dipasang, sebaliknya berdasarkan jumlah nahas jalan raya yang berjaya dielakkan," ujarnya.

Terdahulu, Menteri MOT, Anthony Loke melancarkan Inisiatif Telematik bagi kenderaan perdagangan pada 29 Jun lalu ke arah meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kes kemalangan jalan raya.

Telematik merupakan teknologi pintar yang menggabungkan sistem GPS, sensor kenderaan dan komunikasi data bagi membolehkan pemantauan operasi kenderaan secara masa nyata.

Melalui teknologi itu parameter seperti kelajuan, brek mengejut, pecutan agresif, tempoh pemanduan dan corak pergerakan kenderaan boleh direkod serta dianalisis secara berterusan.