KEKECEWAAN Hossam Hassan terhadap mutu pengadilan ketika Mesir disingkirkan Argentina dalam pusingan 16 terbaik Piala Dunia begitu mendalam sehingga beliau mengakui tidak lagi berminat mengikuti baki saingan kejohanan itu.
Jurulatih Mesir itu mendakwa pasukannya menjadi mangsa beberapa keputusan kontroversi yang mengubah perjalanan perlawanan, termasuk jaringan yang dibatalkan dan kegagalan pengadil menghadiahkan sepakan penalti.
“Saya akan pulang dan tidak akan menonton lagi mana-mana perlawanan Piala Dunia. Apa yang berlaku kepada kami tidak adil.
Mesir yang mendahului 2-0 sehingga berbaki 11 minit sebelum tamat permainan akhirnya tewas 3-2 selepas Argentina bangkit menerusi inspirasi Lionel Messi untuk menempah tiket ke suku akhir.
Hassan turut mempersoalkan keputusan pengadil yang tidak memberikan penalti selepas Hamdy Fathy dikasari di dalam kotak penalti, sebelum Argentina melancarkan serangan balas dan menjaringkan gol kemenangan.
“Walaupun kami melakukan beberapa kesilapan, kesilapan paling besar ialah apabila kami tidak mendapat hak yang sepatutnya daripada mereka yang membuat keputusan.
“Saya tidak suka kalah, lebih-lebih lagi apabila tewas dalam keadaan yang saya rasakan tidak adil. Namun saya tetap bangga kerana pemain berjaya melaksanakan perancangan dengan baik dan memberikan segala-galanya di atas padang,” katanya.
Beliau turut menyifatkan aksi anak buahnya membuktikan Mesir mampu bersaing dengan pasukan terbaik dunia biarpun sebahagian besar skuad dibarisi pemain yang beraksi dalam liga domestik.
“Kebanyakan pemain kami beraksi di liga tempatan, sedangkan ramai pemain negara lain bermain di Eropah. Namun kami tetap mampu memberi saingan kepada sesiapa sahaja,” katanya.