LRT3, KTM dan cerita kerusi kosong

Iklan
Cabaran LRT3 selepas ini ialah memastikan perkhidmatan itu mampu memberikan keselesaan, terutama ketika waktu puncak. Foto Bernama

MERAK Jalanan tersenyum apabila terdengar cerita jiran sebelah yang begitu teruja berkongsi pengalaman selepas seminggu mencuba LRT3.

Bukan mahu mengkritik, jauh sekali membandingkan mana lebih hebat, cuma berkongsi pengalaman sebagai pengguna yang keluar rumah awal pagi dan pulang ketika matahari hampir melabuhkan tirainya.

Iklan
Iklan

Katanya, masa perjalanan dari Klang ke KLCC lebih kurang sama sahaja, sekitar satu setengah jam. Jadi, soal cepat atau lambat bukan lagi isu utama. Yang membezakan hanyalah dapat duduk atau tidak.

Merak Jalanan hanya ketawa. Orang yang setiap hari menggunakan pengangkutan awam pasti faham.

Iklan

Kadang-kadang, nikmat paling besar bukan tren yang laju atau stesen yang cantik tetapi kerusi kosong yang menunggu apabila pintu tren terbuka.

Sebab itu jiran tadi akhirnya membuat strategi sendiri. Pergi kerja naik KTM kerana lebih mudah mendapat tempat duduk, malah sempat melelapkan mata seketika. Balik kerja pula naik LRT3 kerana lebih dekat dengan destinasi.

Iklan

Bunyinya mudah tetapi itulah hakikat kehidupan warga kota. Mereka sentiasa mencari jalan paling praktikal, bukannya paling popular.

Bagi Merak, pembukaan LRT3 tetap sesuatu yang wajar diraikan. Lebih banyak pilihan bermakna lebih banyak kemudahan untuk rakyat.

Cuma cabaran selepas ini ialah memastikan perkhidmatan itu mampu memberikan keselesaan, terutama ketika waktu puncak. Kerana akhirnya, pengguna cuma berharap perjalanan mencari rezeki tidak menjadi satu lagi ujian sebelum sampai ke rumah.