JOHOR BAHRU – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik mempersoalkan justifikasi pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ketika rakyat masih berdepan cabaran kos sara hidup.
Beliau berkata, keadaan semasa memerlukan tumpuan diberikan kepada agenda pemulihan ekonomi dan kesejahteraan rakyat, bukannya mengadakan pilihan raya semata-mata bagi mendapatkan kuasa tambahan.
"Tiba-tiba diadakan pilihan raya, semata-mata untuk dapat keseluruhannya, seolah-olah kuasa yang ada, mandat yang telah rakyat diberikan tak cukup," katanya ketika Dialog Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Auditorium Permata Sari, RTM di sini pada Selasa.
Beliau turut mendakwa rakyat hanya dijadikan percaturan oleh kelompok politik tertentu, terutama apabila terdapat dakwaan yang mengaitkan kemenangan besar dalam pilihan raya dengan pembebasan individu tertentu daripada penjara.
Menurutnya, rakyat Johor tidak seharusnya diperlakukan sebagai alat untuk memenuhi kepentingan politik mana-mana pihak.
“Jadi orang kata, kami rakyat menjadi bidak di papan catur hanya untuk melepaskan seorang daripada penjara saja.
Dalam pada itu, beliau berkata, hubungan baik antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu dimanfaatkan bagi meneruskan agenda pembangunan sehingga tamat penggal pentadbiran.
Katanya, banyak agenda pusat yang dibawa ke Johor sepatutnya memberikan manfaat kepada rakyat sekiranya wujud keselarasan antara kedua-dua kerajaan.
Ujarnya, rakyat Johor tidak mudah dipermainkan dan akan menggunakan hak mereka pada hari pengundian bagi menyuarakan suara rakyat.