JOHOR BAHRU – Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan pendekatan politik baharu sepatutnya memberikan tumpuan kepada perbahasan manifesto dan dasar, bukannya terus mengungkit isu peribadi serta isu-isu lama.
Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik berkata, isu-isu berkenaan dibawakan oleh golongan yang ketandusan hujah.
"Tetapi bagi golongan yang ketandusan hujah mereka mencari isu-isu peribadi dan cerita lama yang sebenarnya sudah selesai," katanya ketika Dialog Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Auditorium Permata Sari, RTM di sini pada Selasa.
Mengulas isu tol Simpang Renggam yang kembali dibangkitkan, Maszlee berkata, perkara itu merupakan manifesto PH pada 2018, ketika kerajaan itu hanya bertahan dalam tempoh singkat.
Beliau juga telah memohon maaf berhubung perkara tersebut dan tidak melihat keperluan untuk isu berkenaan terus dijadikan bahan kempen.
"Kalau dibandingkan satu isu tol itu dengan 10 janji Barisan Nasional (BN) Johor pada tahun 2022 menjelang PRN yang mereka tidak laksanakan, kenapa tidak timbulkan isu itu?
"Kalau ingin berlaku adil, timbulkan isu itu dan jawab kenapa janji-janji dalam manifesto mereka tidak dilaksanakan," katanya.
Dalam pada itu, mengenai isu lakonannya sebagai watak seorang Perdana Menteri yang dipenjarakan dalam sebuah filem, yang menurutnya telah diselesaikan apabila beliau membuat permohonan maaf dan meminta pihak penerbit memotong babak berkenaan.
Selain itu, Maszlee turut menyentuh isu pemakaian kasut hitam di sekolah yang juga menjadi perdebatan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tumpuannya ketika ini ialah memberikan yang terbaik kepada penduduk Puteri Wangsa, memahami keresahan rakyat dan bersama-sama rakyat menjadikan Dun Puteri Wangsa sebagai Dun contoh serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk.
"Tekad saya juga adalah bersama rakan-rakan PH membawa Johor ke arah kemakmuran yang dapat dinikmati semua lapisan masyarakat, bukan hanya golongan elit tetapi juga rakyat bawahan yang bekerja, bertani dan berkebun," katanya.