JOHOR BAHRU - Proses mengundi awal bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor Ke-16 yang berlangsung hari ini mencatatkan peratusan keluar mengundi sebanyak 94.49 peratus
Ia membabitkan 19,471 pengundi terdiri daripada anggota tentera dan pasangan, anggota polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA).
Pencapaian itu menunjukkan peningkatan berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 yang merekodkan 87 peratus keluar mengundi awal, iaitu peningkatan sebanyak 7.49 mata peratusan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, proses pengundian awal bermula pada jam 8 pagi.
Menurut SPR, sebanyak 62 pusat pengundian awal dibuka di seluruh Johor dengan operasi pusat pengundian ditamatkan secara berperingkat iaitu pada jam 12 tengah hari membabitkan 29 pusat mengundi, jam 2 petang (lima pusat mengundi) dan jam 5 petang (28 pusat mengundi).
"Seramai 7,960 anggota tentera dan pasangan serta 11,511 anggota polis dan pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) telah menunaikan tanggungjawab mengundi awal bagi PRU Dewan Negeri Johor Ke-16," menurut kenyataan itu.
SPR turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya serta pasukan yang terbabit kerana melaksanakan tanggungjawab dengan amat baik sepanjang proses pengundian awal berlangsung.
Pada masa sama, SPR merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), petugas media serta semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung atas kerjasama serta sokongan yang diberikan bagi menjayakan proses pengundian awal itu.